Business

OpenSys Technologies melancarkan Stesen Pengecasan DC pertamanya di Pulau Pinang

OpenSys Technologies Sdn. Bhd. (“OpenSys Technologies”), anak syarikat kepada OpenSys (M) Berhad, dengan bangganya melancarkan stesen pengecasan arus terus (DC) pertamanya untuk kenderaan elektrik (EV) di Pulau Pinang. Stesen pengecasan ini dilengkapi dengan pengecas 40KW yang dinamakan Falcon ChargePro, yang mempunyai dua palam pengecas dan terminal pembayaran pelbagai fungsi yang menerima bayaran melalui kad tanpa sentuh dan kod QR.

Pemasangan Falcon ChargePro dirasmikan di cawangan UOB Malaysia Jalan Kelawei pada 21 Ogos 2024. Stesen pengecasan ini sedia untuk digunakan secara eksklusif oleh pelanggan Privilege Banking (PV) UOB Malaysia dari jam 9:00 pagi hingga 5:30 petang, Isnin hingga Jumaat. Pelanggan boleh menikmati tempoh pengecasan percuma selama 30 minit apabila mereka membayar menggunakan Kad Kredit dan Debit UOB PV Visa Infinite. Pemasangan ini mencerminkan komitmen UOB Malaysia untuk menyokong pengangkutan hijau dan mengutamakan kemudahan pelanggan.

Ketua Pegawai Eksekutif OpenSys Technologies Encik Luke Sebastian berkata, “Dengan semakin meningkatnya penerimaan kelestarian[1] oleh para peniaga dan pengguna, peralihan ke arah EV telah meraih momentum yang luar biasa. EV, yang kini banyak dipandu di jalan raya kita, melambangkan perubahan transformatif ke arah masa depan yang lebih hijau dan lestari. Menyedari impak yang besar daripada peralihan ini, OpenSys Technologies telah melaksanakan projek kepelbagaian strategik ke dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, dengan matlamat untuk memainkan peranan yang penting dalam komitmen Malaysia bagi mencapai pelepasan karbon sifar menjelang tahun 2050.

“Matlamat kerajaan yang telah disemak semula iaitu untuk mempunyai 1,500 pengecas DC, berbanding 1,000 unit yang dinyatakan dalam Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon (LCMB) pada tahun 2021, membuktikan wujudnya permintaan yang semakin tinggi untuk infrastruktur pengangkutan hijau. OpenSys Technologies berbangga dapat bekerjasama dengan UOB Malaysia untuk menyediakan kemudahan ini demi keselesaan pelanggan PV mereka.”

Melalui kerjasama strategik dan teknologi inovatif, OpenSys Technologies berada di barisan hadapan dalam menyediakan produk dan perkhidmatan hijau yang sejajar dengan masa depan yang lestari. Pengecasan EV Falcon ChargePro dan pasaran dalam talian buySolar direka untuk menyokong pelanggan korporat dalam mencapai matlamat alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG) mereka sambil memupuk kelestarian dalam operasi mereka.

Falcon ChargePro memfokuskan dalam menyediakan perkhidmatan pengecasan EV hijau kepada perusahaan, terutamanya yang mempunyai liputan EV yang besar. Inisiatif ini dikuasakan sepenuhnya oleh tenaga elektrik boleh diperbaharui melalui pembelian Sijil Tenaga Boleh Diperbaharui (REC), yang menyokong projek tenaga boleh diperbaharui dan mengurangkan pelepasan karbon. REC membolehkan pelanggan korporat dan pengguna mengesahkan dan menyatakan bahawa stesen pengecasan mereka dikuasakan sepenuhnya oleh tenaga boleh diperbaharui, di samping mendorong mereka ke arah menyokong matlamat kelestarian.

Apa yang membezakan Falcon ChargePro adalah keupayaannya yang tiada tandingan bagi memenuhi keperluan unik pelanggan korporat. Falcon ChargePro memastikan proses yang lancar untuk pelanggan korporat, dengan menguruskan semua aspek pemasangan pengecas EV, sistem pengurusan, perkhidmatan tapak, penyelenggaraan, dan sokongan. Pendekatan menyeluruh ini membolehkan syarikat ini memberi tumpuan kepada perniagaan teras mereka sambil menikmati manfaat daripada infrastruktur pengecasan yang lancar. Ia juga menampilkan Falcon ChargePay, terminal pembayaran pelbagai fungsi untuk kad tanpa sentuh dan kod QR yang dibangunkan oleh OpenSys Technologies dan direka dengan teliti, khusus untuk pengecas EV. Selain itu, pengecas tersebut boleh disesuaikan untuk mencerminkan penjenamaan syarikat, menawarkan peluang unik kepada perniagaan untuk meningkatkan identiti korporat mereka.

Dalam perjalanan menuju masa depan yang lebih hijau ini, OpenSys Technologies dan UOB Malaysia bukan sekadar menyediakan pengecas EV; mereka juga menerajui satu pergerakan lestari, mengubah cabaran menjadi pencapaian, dan memacu perubahan yang bermakna untuk generasi akan datang.

 

PALING POPULAR

To Top