Umum

Larangan azan: Fahmi Zainol lapor polis malam ini

Satu laporan polis akan dibuat terhadap badan pengurusan bersama (JMB) sebuah kondominium di Tanjung Tokong berhubung larangan penggunaan pembesar suara ketika melaungkan azan pada surau di kondominium tersebut.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Permatang Pauh, Fahmi Zainol berkata, laporan polis akan dibuat di Ibu Pejabat Polis Timur Laut pada jam 9 malam, Selasa.

Menurutnya, laporan itu dibuat untuk menggesa pihak berkuasa menyiasat tindakan JMB kondominium berkenaan yang disifatkan sebagai mengganggu keharmonian antara kaum di negeri ini.

“Benar saya akan buat laporan polis malam ini, dan mungkin rakan-rakan saya yang turut serta juga akan buat laporan (polis). Kita mahu polis dan pihak berkuasa yang berkenaan menyiasat sama ada benar atau tidak larangan seperti yang ditularkan baru-baru ini.

“Sekiranya benar, pihak JMB kondominium tersebut perlu diambil tindakan kerana tidak memahami sensitiviti agama Islam,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Usaha Sinar Harian untuk mendapatkan ulasan daripada Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman gagal apabila beliau tidak menjawab panggilan telefon selain tidak membalas mesej di Whatsapp.

Difahamkan, terdapat empat buah pembesar suara di surau kondominium berkenaan iaitu dua bersaiz kecil terletak di dalam surau manakala dua lagi yang bersaiz besar terletak di luar surau.

Pihak JMB kondominium berkenaan dipercayai melarang pihak surau berkenaan menggunakan dua pembesar suara bersaiz besar di luar surau untuk kegunaan azan sebaliknya hanya menggunakan pembesar suara bersaiz kecil di dalam surau sahaja.

Perkara itu menimbulkan ketidakpuasan hati terhadap beberapa penduduk kondominium yang menyifatkan larangan itu sebagai mengganggu keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama.

Sebelum ini, tular satu klip video di media sosial menunjukkan satu sesi dialog antara pihak JMB sebuah kondominium di Tanjung Tokong dengan penduduk berhubung isu semasa di kediaman tersebut.

Bagaimanapun, keadaan menjadi tegang apabila pihak JMB mengutarakan isu pembesar suara di surau kondominium berkenaan.

Sumber: Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top