Umum

Isu pensijilan halal, PM menegur pemimpin DAP atas kenyataan yang mencetus kontroversi

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan kenyataan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok dalam isu pensijilan halal bukan pendirian Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya kenyataan Kok yang juga merupakan naib pengerusi DAP itu antara lain mencetuskan kontroversi tidak relevan kepada masyarakat di negara ini.

Anwar, yang juga pengerusi PH juga menasihati mana-mana pemimpin politik untuk mengemukakan sebarang cadangan atau kebimbangan mengenai sesuatu perkara dalam mesyuarat supaya perkara itu boleh diteliti secara menyeluruh.

“Tak payah jadi begini kerana ini menimbulkan kontroversi yang tidak relevan dalam masyarakat kita.

Ada masalah…peraturan perlu supaya umat Islam tidak rasa was-was. Namun, kalau dia (Teresa) rasakan peraturan itu tidak diperlukan di kawasan tertentu, bincanglah secara elok, katanya dilaporkan Berita Harian ketika merasmikan Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban (arah selatan), di Seremban.

Khamis lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar, berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengkaji cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal, namun ia mengecualikan premis menghidangkan daging babi atau minuman beralkohol.

Susulan itu, Kok berkata cadangan itu dilihat menghalang kebebasan pilihan pengguna serta bertentangan semangat kepelbagaian budaya dalam negara, malah mungkin memalukan Malaysia di peringkat antarabangsa.

Katanya, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan dan beban kepada perniagaan kecil.

Kenyataan Kok turut mendapat kecaman Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, yang mendesak permohonan maaf kepada umat Islam.

PALING POPULAR

To Top