Umum

Polis ambil tindakan individu buat “content” kawasan banjir

Polis Kedah akan mengambil tindakan terhadap individu memasuki kawasan banjir sekadar untuk membuat kandungan (content) di media sosial.

Menurut Ketua Polis Kedah, Fisol Salleh, orang ramai sepatutnya bersimpati dengan nasib menimpa mangsa banjir, bukannya mengambil kesempatan atas kesengsaraan orang lain demi mengejar tontonan atau ratingtinggi.

“Kalau mereka buat ‘content’ yang boleh membantu pihak penguat kuasa, contohnya menyalurkan maklumat berkaitan bencana banjir itu tidak apa kerana ia akan membantu semua pihak. Tetapi, kalau mereka suka-suka buat video untuk naikkan ‘rating’, itu tidak boleh.

Sekiranya polis mengesan ada pihak membuat siaran langsung di tempat bahaya, kita akan sekat dan ambil tindakan, katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Bukit Hijau di Pokok Sena.

Beliau mengulas tindakan segelintir mangsa sanggup keluar dari PPS dan ke kawasan banjir untuk membuat content di laman media sosial mereka.

Sementara itu, Fisol berkata, anggota polis di setiap daerah dan kawasan terjejas banjir diarah melakukan rondaan berkala bagi memastikan tiada kejadian jenayah seperti kes pecah rumah mangsa banjir.

Apabila berlaku bencana ini, biasanya orang tidak mahu berpindah kerana sayangkan harta, tetapi dalam keadaan seperti banjir ini, nyawa lagi penting. Kita juga telah mengenal pasti lorong tikus di kawasan sukar dimasuki anggota polis bagi memastikan tiada kejadian jenayah berlaku.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan berlaku faktor kecuaian dalam kes seorang kanak-kanak perempuan dua tahun ditemui lemas dalam longkang di Lorong Seri, di sini, semalam.

Kita akan panggil keluarga kanak-kanak itu bagi siasatan lanjut dan ia menjurus kepada kecuaian. Hasil bedah siasat yang selesai tadi mendapati mangsa meninggal dunia akibat lemas. Siasatan akan diteruskan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2021.

Terdahulu, Bernama melaporkan mayat Nur Aisha Misya Afifah Abdul Fattah, 2, ditemui dalam longkang oleh orang kampung pada 8 malam semalam.

PALING POPULAR

To Top