Polis (PDRM) mengesahkan mayat berulat yang dijumpai disumbat dalam bagasi di Taman CP6, Cheras Perdana, Kajang ialah lelaki berusia 30-an hingga 40-an.
Dilaporkan media Ketua Polis Kajang, Naazron Abdul Yusof, berkata polis menerima panggilan orang awam pada 11.45 pagi tadi memaklumkan penemuan sebuah bagasi berbau busuk.
Menurutnya, sepasukan polis bersama pasukan forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) kemudian ke lokasi dan menemui sebuah bagasi berwarna biru mengandungi mayat lelaki tanpa pengenalan diri.
“Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Serdang untuk dibedah siasat yang dijangka dijalankan 9 pagi esok,” katanya menurut Harian Metro.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun.
Orang ramai mempunyai maklumat mengenai kes ini diminta menghubungi balai polis terdekat atau pegawai penyiasat kes Umesh Ratna Kumar di talian 012-6114900.