Business

Kerajaan lulus peruntukan RM16.45 bilion bangunkan kilang pemasangan helikopter

Gambar Weststar

Kerajaan persekutuan telah meluluskan peruntukan RM16.45 bilion bagi tujuan membangunkan sebuah kilang pemasangan helikopter di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) yang bertempat di Batu Berendam.

Menurut Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh, kontrak pembangunan kilang itu yang diberikan kepada Weststar Group, pengendali helikopter terbesar di Malaysia dan Asia Tenggara, akan dibangunkan dalam masa 3 tahun di tanah seluas 6.88 hektar.

Mengulas lanjut, selain pembinaan kilang pemasangan helikopter, ia juga akan menjadi hab penyelenggaraan helikopter merangkumi perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).

“Hari ini merupakan lawatan kerja pertama Weststar Group untuk melihat dan membuat kajian tentang kawasan yang dikenal pasti untuk membangunkan kilang pemasangan helikopter dalam kawasan LTAM.

“Dengan pelaburan berjumlah RM16.45 bilion daripada kerajaan persekutuan, ia akan memberi sinar baharu dalam industri aeroangkasa di Melaka dan kerajaan negeri akan memberi segala sokongan bagi memastikan projek ini disiapkan dalam tempoh 3 tahun dari sekarang,” katanya selepas lawatan tapak di LTAM bagi cadangan membina kilang pemasangan helikopter oleh Weststar Group.

Turut hadir Pengerusi dan Pengasas Weststar Group, Syed Azman Ibrahim serta Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Melaka, Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Beliau berkata projek nasional itu memberi peluang besar kepada Melaka daripada pelbagai aspek, antaranya menjadikan negeri itu hab MRO helikopter di rantau ini, sekali gus meningkatkan ekonomi negeri, selain menawarkan peluang pekerjaan khususnya dalam industri aeroangkasa kepada rakyat tempatan.

Tambahnya, pembinaan kilang itu tidak akan menjejaskan penerbangan komersial di LTAM, sebaliknya memberi nilai tambah kepada industri aeroangkasa di Melaka.

“Dengan adanya ‘Malaysian Flying Academy’ di Melaka juga, Weststar diberi amanah melahirkan 1,500 juruterbang helikopter dalam setahun bagi menyokong industri perkhidmatan pengangkutan udara di negara ini.”

 

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top