Kanak-kanak Hilang 3 Hari Ditemui Maut di Sungai Buloh
Innalillahi wa inna ilaihi raji’un.
KUALA SELANGOR — Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun, Khairil Izani Khaizalullinudin, yang dilaporkan hilang sejak Selasa selepas dipercayai dihanyutkan arus deras di Puncak Alam, ditemukan meninggal dunia pada Khamis.
Mayat mangsa ditemui di kawasan Sungai Buloh menghala ke Ijok sekitar jam 1 tengah hari selepas operasi pencarian berterusan dijalankan sejak hari pertama kejadian.
Operasi tersebut melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bersama Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Saujana Utama, yang menyusuri kawasan parit dan sungai sejauh kira-kira lima kilometer dari lokasi pencarian awal.
Menurut pihak bomba, jarak lokasi mangsa ditemukan adalah sekitar 10 kilometer dari tempat kejadian asal.
Mangsa ditemukan dalam keadaan lengkap berpakaian sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital UiTM untuk proses bedah siasat.
Kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Al-Fatihah buat arwah dan salam takziah kepada keluarga.
