Umum

Steven Sim: Malaysia Lancarkan Minggu Latihan Kebangsaan Pertama untuk Semua Warga ASEAN

Melalui satu langkah penting di bawah Kepengerusian ASEAN, Malaysia bakal memulakan Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) unggulannya untuk semua warga ASEAN buat julung kalinya yang menawarkan lebih 65,000 peluang latihan percuma di seluruh negara dan secara dalam talian mulai 14–21 Jun 2025.

Pengumuman ini dibuat oleh Menteri Sumber Manusia, YB Steven Sim Chee Keong, semasa berlangsungnya Simposium Pelaburan Pembangunan Modal Insan ASEAN (AHCDIS) di Kuala Lumpur. NTW 2025 merupakan inisiatif pengukuh di bawah kepimpinan Tahun Kemahiran ASEAN (AYOS) Malaysia, satu komitmen sepanjang setahun bagi tujuan mencapai pembangunan tenaga kerja serantau.

NTW pada tahun ini dijangka akan menjadi program kemahiran yang terbesar dan paling inklusif di ASEAN, membawakan capaian percuma kepada kursus-kursus dalam bidang AI, transformasi digital, teknologi hijau, kepimpinan dan kemahiran insani. Ia mendapat sokongan para pengusaha peringkat global dan serantau seperti Microsoft, Udemy, Awantec, Alibaba Cloud dan penyedia Malaysia yang terkemuka dan dikoordinasikan oleh Human Resource Development Corporation (HRD Corp).

“Buat julung kalinya, kami meluaskan peluang latihan yang berkualiti tinggi ini melangkaui sempadan kami. Ini merupakan pelaburan Malaysia di ASEAN – dan juga dalam modal insan,” kata YB Steven Sim. “Matlamat kami adalah untuk menjadikan ASEAN sebagai sebuah rantau yang paling mahir di dunia melalui kerjasama yang lebih mendalam dan lebih bermakna.”

NTW 2025 bermatlamat untuk mendekati sekurang-kurangnya 5 juta peserta dari seluruh rantau ini, dengan anggaran nilai melebihi USD600 juta (RM2.5 bilion). Ia turut menyaksikan pengaruh Malaysia yang semakin meningkat sebagai peneraju pembelajaran dan pembangunan serantau, mendahului acara-acara AYOS yang lain seperti Persidangan Pasaran Latihan ASEAN (Julai), Persidangan TVET ASEAN (Ogos) dan Forum Kemahiran Global (Oktober) yang akan mencapai kemuncaknya menerusi Forum Menteri Tenaga Manusia ASEAN untuk Pembangunan Modal Insan.

YB Steven Sim menegaskan bahawa ASEAN haruslah beranjak daripada menjadi bahagian pengeluaran dunia kepada enjin inovasinya yang dikuasakan oleh bakat, perkongsian dan tujuan. “Kejayaan kami dalam tempoh jangka panjang bergantung pada usaha merangkum industri-industri digital, hijau dan bernilai tinggi pada masa depan,” katanya.

Kepimpinan serantau Malaysia mendapat pujian daripada pihak berkepentingan ASEAN yang utama. Setiausaha Agung ASEAN Dr. Kao Kim Horn turut memuji peranan Malaysia: “Ini merupakan satu inisiatif berwawasan yang mengesahkan sekali lagi komitmen bersama kami untuk melabur dalam insan — asas sebenar bagi pertumbuhan dan kebingkasan ASEAN.”

Sebagai tambahan, Pengarah ILO untuk Asia Timur dan Tenggara, Cik Xiaoyan Qian, menekankan perlunya pembangunan kemahiran diintegrasikan dengan dasar guna tenaga dan ekonomi yang lebih luas. “Kepaduan dasar sedemikian merupakan asas untuk mempersiapkan tenaga kerja ASEAN dalam menghadapi dunia pekerjaan yang kian berkembang pesat,” katanya.

Simposium AHCDIS selama dua hari ini yang dianjurkan oleh HRD Corp di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menghimpunkan lebih 300 peserta dari seluruh ASEAN di bawah tema “Pelaburan dalam Modal Insan, Pembiayaan Mampan, Perkongsian Awam-Swasta dan Inklusiviti Sosial.”

Datuk Abu Huraira Abu Yazid, Pengerusi HRD Corp, berkata simposium ini berperanan sebagai platform tindakan serantau bagi berkongsi amalan terbaik dan mendorong pelaburan jangka panjang dalam modal insan. “Ia suatu pencarian terhadap penyelesaian boleh diambil tindakan yang akan membentuk dasar masa depan,” katanya.

Para hadirin utama terdiri daripada wakil-wakil kanan daripada KESUMA, HRD Corp, Sekretariat ASEAN dan para pemimpin AYOS 2025. Hasil daripada simposium ini dijangka akan membentuk pendekatan serantau dengan ketara terhadap pembangunan tenaga kerja, lalu mengupayakan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan kemakmuran bersama.

Untuk maklumat lanjut mengenai AYOS 2025, AHCDIS dan NTW, kunjungi:

https://aseanyearofskills.org

https://www.nationaltrainingweek.gov.my

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top