Festival Koko Antarabangsa Malaysia (MICF) 2025 yang berlangsung dari 24 hingga 27 Mei 2025 melabuhkan tirainya dengan kejayaan cemerlang dan pencapaian luar biasa dalam usaha memperkukuh industri koko negara serta meletakkannya di radar antarabangsa. Dengan penyertaan lebih 25,000 pengunjung sepanjang penganjuran, MICF 2025 secara rasmi telah mencapai objektif penganjurannya – menjadi platform utama yang menyatukan inovasi, jaringan perniagaan, ilmu teknikal dan budaya dalam landskap koko serantau dan global.
Festival yang dirasmikan oleh Menteri Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Johari Abdul Ghani, menegaskan komitmen kerajaan dalam membangunkan semula ladang koko serta merangsang pengeluaran tempatan melalui pelbagai inisiatif strategik. Dalam ucapannya, beliau turut menyentuh mengenai keperluan Malaysia untuk mematuhi Peraturan Penyahhutanan Kesatuan Eropah (European Union Deforestation Regulation – EUDR), yang kini menjadi garis panduan penting dalam pasaran eksport antarabangsa.
“Kita bukan sahaja perlu meningkatkan hasil koko negara, tetapi juga memastikan pengeluaran kita mematuhi keperluan kebolehkesanan, keterjangkauan dan kelestarian, seperti yang digariskan dalam EUDR. Malaysia harus dilihat sebagai pengeluar koko yang bertanggungjawab dan mampan,” ujar beliau.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan akan memanfaatkan tanah sedia ada serta memperkenalkan amalan pertanian moden dan berkualiti tinggi bagi menggandakan hasil koko. Beliau menyeru agar pekebun kecil, pelabur, dan koperasi menyambut baik inisiatif nasional ini yang turut membuka peluang ekonomi baharu, terutamanya di luar bandar.
“Walaupun pengeluaran biji koko tempatan masih kecil, usaha kita telah menunjukkan peningkatan ketara sebanyak 65% dari 269 tan pada tahun 2023 kepada 445 tan pada tahun 2024. Kita perlu mengimbangi sektor hiliran yang kukuh dengan pengeluaran huluan yang lebih mapan,” katanya.
“MICF mempunyai tiga komponen utama – pameran, persidangan, dan Majlis Makan Malam Gala – yang semuanya menyumbang kepada objektif memperkukuh rantaian nilai koko dari ladang ke pasaran global,” katanya.
MICC 2025 menyaksikan penyertaan lebih 1,000 peserta dari 25 negara, termasuk pemain industri, agensi kerajaan, penyelidik dan pelajar dalam persidangan antarabangsa selama dua hari. Persidangan ini padat dengan sesi pembentangan dan forum meliputi topik seperti kelestarian koko, inovasi produk, kebolehkesanan, pertanian pintar, dan pembangunan koperasi.
Pengerusi Lembaga Koko Malaysia (LKM), YB Datuk Matbali Musah, dalam ucapannya menekankan bahawa MICF bukan sahaja platform mempamerkan inovasi dan jaringan perniagaan, malah turut menyumbang kepada pemerkasaan pengetahuan industri melalui pembentangan pakar dan pemain industri dari seluruh dunia.
Seramai 160 peserta dari 25 negara mengambil bahagian dalam pameran antarabangsa MICE, manakala Majlis Makan Malam Gala Koko (MICD) bukan sahaja menjadi platform penghargaan dan jaringan, tetapi juga mempersembahkan keunikan budaya Sabah kepada peserta antarabangsa.
Ketua Pengarah LKM, Datuk Dr. Ramle Hj Kasin, turut memainkan peranan penting dalam menjayakan MICF 2025. Beliau mengetuai pasukan LKM dalam merancang dan melaksanakan penganjuran festival yang dianggap paling berprestij dalam kalendar industri koko negara. Di bawah kepimpinannya, LKM turut memperkukuh penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang pembiakan koko, teknik pemprosesan dan pembangunan produk berinovasi.
Lawatan teknikal ke ladang koko di Ranau serta pusat budaya di sekitar Kota Kinabalu juga menjadi antara tarikan utama MICF 2025, memberi peluang kepada peserta untuk melihat sendiri amalan terbaik dalam penanaman koko dan keunikan budaya tempatan.
Dengan nilai eksport koko Malaysia mencecah RM15 bilion pada tahun 2024 dan peningkatan eksport kepada 690,000 tan, MICF 2025 membuktikan bahawa industri koko Malaysia masih relevan dan berpotensi untuk berkembang secara mampan serta bersaing di peringkat global.
Dalam ucapan penutup MICF 2025, yang juga merangkap perasmian penutup festival, Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia, Datuk Dr. Ramle Hj. Kasin, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan MICF 2025. Beliau menzahirkan harapan agar komitmen, semangat kerjasama, dan iltizam yang dipamerkan sepanjang festival ini dapat diteruskan dalam usaha memperkukuh industri koko negara ke tahap yang lebih tinggi. “Saya yakin, dengan jaringan yang terjalin dan idea yang dikongsi dalam festival ini, kita mampu membawa industri koko negara ke era baharu yang lebih lestari dan berdaya saing di peringkat antarabangsa,” ujar beliau.

