Umum

IKEA Tarik Balik Penekan Bawang Putih VÄRDEFULL – Risiko Kepingan Logam Tertanggal Dikesan

Gambar Ikea Malaysia

IKEA telah mengumumkan penarikan balik produk penekan bawang putih IKEA 365+ VÄRDEFULL berwarna hitam, berikutan isu keselamatan yang boleh membahayakan pengguna. Penarikan balik ini melibatkan produk dengan nombor artikel 201.521.58, 305.781.89, dan 601.636.02.

Menurut kenyataan rasmi IKEA, siasatan dalaman telah mengenal pasti ralat pengeluaran yang menyebabkan risiko kepingan logam kecil tertanggal semasa penggunaan. Kepingan ini boleh tercampur dalam makanan dan tanpa disedari dimakan oleh pengguna – situasi yang tentunya membimbangkan dari aspek keselamatan makanan.

Produk yang terlibat adalah dari cap tarikh 2411 hingga 2522 (format tahun/minggu), dan boleh dikenal pasti melalui logo IKEA pada bahagian atas pemegang produk.

Bagi pengguna yang tidak pasti sama ada penekan bawang putih mereka terlibat, IKEA mengesyorkan supaya mengembalikan sahaja produk tersebut ke mana-mana cawangan IKEA. IKEA menegaskan bahawa resit pembelian tidak diperlukan, dan bayaran balik penuh akan diberikan.

IKEA juga menggesa pengguna yang pernah memberikan, meminjamkan atau menjual produk ini kepada pihak lain untuk menyebarkan maklumat penarikan balik ini.

Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan IKEA di 03-7952 7575.

IKEA memohon maaf atas sebarang kesulitan yang mungkin timbul dan komited terhadap keselamatan serta kepuasan pelanggan.

 

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top