Umum

Kerajaan Kecuali Caj KWTBB, Galak Pengguna Sokong Tenaga Boleh Baharu

Dalam usaha merancakkan lagi pembangunan tenaga boleh baharu (TBB) di negara ini, Kerajaan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) mengumumkan pengecualian kutipan 1.6% Kumpulan Wang Tenaga Boleh Baharu (KWTBB) bagi program tenaga hijau tertentu bermula 1 Ogos 2025.

Menteri PETRA dalam kenyataan media memaklumkan, pengecualian ini melibatkan bekalan elektrik hijau yang diperoleh pengguna menerusi Program Green Electricity Tariff (GET), Corporate Renewable Energy Supply Scheme (CRESS) dan Community Renewable Energy Aggregation Mechanism (CREAM).

Sebagai makluman, kutipan KWTBB sebanyak 1.6% daripada tarif elektrik telah dilaksanakan sejak 2011 untuk membiayai mekanisme Feed-in Tariff (FiT) yang dikendalikan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA Malaysia). Sejak itu, kapasiti tenaga boleh baharu negara meningkat mendadak daripada hanya 5MW pada 2011 kepada 5,100MW ketika ini, dengan sumbangan besar daripada sumber solar, biogas, biojisim dan hidro kecil.

Kerajaan yakin langkah pengecualian caj ini akan menjadi insentif baharu untuk pengguna, khususnya syarikat korporat dan industri, bagi terus menyokong peralihan tenaga negara ke arah mencapai sasaran 70% TBB dalam pembekalan elektrik menjelang 2050.

“Langkah ini diharap menjadi pemangkin pertumbuhan industri TBB yang lebih progresif dan positif, sejajar dengan prinsip Malaysia MADANI,” menurut kenyataan itu.

Pengecualian caj KWTBB ini juga bertepatan dengan pelaksanaan jadual tarif elektrik baharu yang berkuat kuasa mulai 1 Julai lalu.


Untuk maklumat lanjut, pengguna boleh menghubungi Unit Komunikasi Korporat PETRA.

 

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top