Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan orang ramai agar tidak memuat naik atau menyebarkan sebarang maklumat atau gambar yang belum disahkan berkaitan kes kematian Zara Qairina Mahathir.
Dalam satu kenyataan, AGC menyatakan bahawa penularan kandungan yang belum dipastikan kesahihannya, terutama membabitkan gambar kanak-kanak dalam siasatan, boleh menimbulkan kekeliruan masyarakat serta mengganggu proses siasatan.
“Jabatan ini menyeru orang ramai agar menghentikan segera perbuatan tidak bertanggungjawab tersebut,” jelas AGC.
AGC turut menegaskan bahawa penyebaran berterusan maklumat sebegini boleh menjejaskan kelancaran serta keberkesanan siasatan pihak berkuasa.
Terdahulu, media melaporkan AGC mengesahkan telah menerima laporan penuh siasatan awal kes ini pada 3 Ogos (di Sabah) dan 4 Ogos (di Putrajaya). Namun hari ini, Peguam Negara Mohd Dusuki Mokhtar memaklumkan bahawa laporan tersebut telah dikembalikan kepada polis untuk siasatan dilengkapkan.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia pada 17 Julai di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu. Sehari sebelumnya, beliau ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolah agama di Papar, Sabah.
