KUALA LUMPUR – Langit Malaysia bakal dihiasi panorama menakjubkan malam ini apabila fenomena Gerhana Bulan Penuh atau lebih dikenali sebagai ‘Blood Moon’ dijangka berlaku sehingga awal pagi esok.
Menurut Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), fenomena ini berlaku apabila bumi berada tepat di antara matahari dan bulan, menyebabkan bayangan bumi menutupi bulan sepenuhnya.
“Pada kemuncak gerhana, bulan akan kelihatan kemerahan hasil pembiasan cahaya matahari oleh atmosfera bumi,” jelas MYSA dalam kenyataan.
Malaysia Antara Lokasi Terbaik
Fenomena ini bukan sahaja boleh disaksikan di Malaysia, malah di seluruh dunia termasuk Eropah, Afrika, Asia, Australia dan New Zealand. Malaysia bagaimanapun dianggap antara lokasi terbaik untuk menikmati pemandangan istimewa ini.
Program Cerapan Untuk Orang Ramai
Bagi memberi peluang kepada masyarakat menyaksikan secara dekat, MYSA dengan kerjasama pelbagai agensi akan menganjurkan Program Cerapan Gerhana Bulan Penuh di beberapa lokasi terpilih seluruh negara.
Selain itu, siaran langsung menerusi Facebook Live MYSA turut disediakan untuk mereka yang tidak dapat hadir secara fizikal.
Peluang Menambah Ilmu
MYSA menggalakkan orang ramai memanfaatkan peluang ini bukan sahaja untuk menghayati keindahan alam, malah menambah pengetahuan mengenai fenomena astronomi yang jarang berlaku.
