Umum

Subsidi Petrol RON95: Tak Terhad Pada MyKad Sahaja

Pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 akan memberi lebih fleksibiliti kepada pengguna, tanpa bergantung sepenuhnya kepada MyKad fizikal, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau menegaskan orang ramai tidak perlu risau jika berdepan kesukaran menggunakan MyKad kerana terdapat beberapa kaedah lain yang boleh dipilih, antaranya melalui aplikasi mudah alih syarikat minyak seperti Setel dan Shell App.

“Pengguna boleh menikmati subsidi dengan lebih mudah dan cepat. MyKad bukan satu-satunya cara, walaupun kelayakan tetap disandarkan pada data MyKad,” jelasnya ketika ditemui media di Penampang, Sabah.

Selain aplikasi, pengguna juga boleh membuat pembayaran melalui terminal di luar atau dalam stesen minyak.

Armizan berkata, kerajaan telah membuat persiapan rapi sejak awal tahun bagi memastikan pelaksanaan penyasaran subsidi berjalan lancar.

“Kerajaan tidak mahu langkah ini menyusahkan rakyat atau menimbulkan persepsi bahawa mereka perlu beratur panjang semata-mata untuk mendapatkan petrol bersubsidi,” tambahnya.

Pengumuman lanjut mengenai mekanisme penyasaran subsidi petrol RON95 dijangka dibuat oleh Kementerian Kewangan dalam masa terdekat.


 

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top