Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berhubung isu pemain warisan yang membabitkan skuad kebangsaan.
Dalam kenyataan rasminya, FAM menegaskan bahawa semua proses dokumentasi dan prosedur berkaitan telah diuruskan secara telus mengikut garis panduan yang ditetapkan. Malah, FIFA sebelum ini telah mengesahkan kelayakan pemain berkenaan untuk mewakili Malaysia.
“FAM serta para pemain terbabit telah bertindak dengan niat baik dan penuh ketelusan sepanjang proses ini,” kata Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Haji Mahadi.
Sehubungan itu, FAM akan menggunakan semua saluran dan prosedur perundangan yang ada untuk memastikan kepentingan pemain serta skuad Harimau Malaya terus terpelihara.
FAM turut menegaskan komitmennya untuk:
- Bertindak tegas mempertahankan integriti bola sepak negara.
- Mematuhi segala peraturan antarabangsa.
- Bekerjasama dengan Kerajaan Malaysia dan pihak berkepentingan bagi menjamin proses yang adil dan telus.
Perkembangan lanjut mengenai proses rayuan ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
