Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menegaskan komitmen untuk menuntut akauntabiliti dalam tadbir urus bola sepak negara sambil memastikan Malaysia terus mematuhi statut antarabangsa di bawah Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA).
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, dalam satu kenyataan hari ini berkata KBS melalui Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) akan bekerjasama rapat dengan Jawatankuasa Siasatan Khas Bebas yang diketuai oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif.
Menurut beliau, hasil siasatan jawatankuasa tersebut akan menjadi asas kepada pelaksanaan langkah-langkah pembetulan serta penambahbaikan yang perlu dipatuhi oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
“Kerajaan perlu berhati-hati kerana sebarang bentuk campur tangan boleh menyebabkan FAM digantung oleh FIFA. Penggantungan seperti itu bukan sahaja memberi kesan kepada pasukan kebangsaan utama, tetapi turut melibatkan semua pasukan bawah umur serta pihak lain seperti Malaysian Football League (MFL), Amateur Football League (AFL) dan kelab-kelab yang bertanding dalam Liga Malaysia,” katanya.
Hannah turut mengingatkan bahawa sejarah bola sepak antarabangsa menunjukkan beberapa negara pernah dikenakan tindakan penggantungan oleh FIFA akibat campur tangan kerajaan.
Antara negara yang terlibat termasuk Indonesia (2015), Zimbabwe (2022), Chad (2021), Benin (2015) dan Brunei (2009). Dalam kes-kes tersebut, tindakan kerajaan masing-masing untuk membubarkan atau mengambil alih pentadbiran badan bola sepak kebangsaan telah membawa kepada penggantungan keanggotaan mereka daripada FIFA.
Beliau menjelaskan bahawa FIFA tegas menegakkan Statut 15(c) yang menetapkan setiap persatuan bola sepak mesti bebas daripada sebarang bentuk campur tangan politik atau kerajaan — prinsip yang menjadi asas keanggotaan mana-mana negara di bawah FIFA.
“KBS akan terus seimbangkan antara keperluan mematuhi peraturan antarabangsa dan tuntutan akauntabiliti dalam negara, dengan memastikan FAM memperkukuh tadbir urus serta mengembalikan keyakinan rakyat terhadap integriti dan kredibiliti bola sepak Malaysia,” ujar beliau.
Langkah ini, menurut KBS, merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkukuh pentadbiran sukan di Malaysia, selaras dengan matlamat mewujudkan sistem bola sepak yang lebih telus, profesional dan berdaya saing.
