Sports

7 Pemain Warisan Pertimbang Saman FAM Selepas Dihukum Fifa

Gambar FAM

Tujuh pemain warisan skuad bola sepak kebangsaan dilaporkan sedang menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) susulan hukuman penggantungan dan denda yang dikenakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).

Menurut laporan Harian Metro, pemain-pemain berkenaan kini berunding dengan peguam di luar negara bagi meneliti kemungkinan menyaman FAM berikutan “kesilapan teknikal” dalam proses penyerahan dokumen rasmi oleh pihak pentadbiran persatuan itu.

“Difahamkan peguam luar negara sedang berbincang dengan tujuh pemain itu. Mereka mungkin menyaman FAM kerana kesilapan teknikal yang menyebabkan mereka digantung,” kata sumber yang dipetik laporan itu.

Katanya lagi, tindakan tersebut bukanlah sesuatu yang mengejutkan memandangkan pemain-pemain terlibat kehilangan mata pencarian akibat penggantungan berkenaan. Malah, beberapa kelab dikatakan turut menamatkan kontrak pemain terbabit serta-merta selepas insiden itu.

Langkah undang-undang itu juga dikatakan bagi membersihkan nama mereka dan memudahkan proses mencari kelab baharu sebaik tempoh penggantungan berakhir.


Latar Belakang Kes

Pada September lalu, Fifa mengenakan tindakan disiplin terhadap FAM dan tujuh pemain warisan berkenaan selepas mendapati FAM menyerahkan dokumen palsu bagi mengesahkan salasilah pemain menjelang perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun.

Antara pemain yang terlibat ialah:

  • Gabriel Felipe Arrocha
  • Facundo Tomás Garcés
  • Rodrigo Julián Holgado
  • Imanol Javier Machuca
  • Joao Vitor Brandao Figueiredo
  • Jon Irazabal Iraurgui
  • Hector Alejandro Hevel Serrano

FAM didenda 350,000 franc Switzerland (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain turut dikenakan denda 2,000 franc Switzerland (sekitar RM10,560) serta digantung 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.

Rayuan FAM kepada Fifa baru-baru ini turut ditolak, sekaligus mengekalkan semua hukuman yang telah dijatuhkan.


Reputasi Tercalar, Masa Depan Dipersoal

Kes ini dianggap antara krisis besar dalam sejarah bola sepak Malaysia, dengan ramai pihak di media sosial mempersoalkan pengurusan dokumen dan pemantauan kelayakan pemain warisan di peringkat tertinggi.

Sementara FAM belum mengeluarkan kenyataan lanjut mengenai kemungkinan tindakan undang-undang daripada pemain-pemain terlibat, pemerhati sukan melihat isu ini sebagai peringatan serius terhadap kebertanggungjawaban institusi sukan negara dalam mengurus pemain naturalisasi dan warisan.


 

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top