Umum

Malaysia Lancar Pavilion COP30, Tegaskan Komitmen Net Zero Menjelang 2050

Malaysia secara rasmi melancarkan Malaysia Pavilion di Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-30 (COP30), menandakan langkah tegas negara dalam menangani krisis iklim global serta mengukuhkan komitmen mencapai sasaran Net Zero menjelang 2050.

Pelancaran tersebut disempurnakan oleh YBhg. Datuk Nor Yahati binti Awang, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Keterjaminan Alam Sekitar (NRES), yang mengetuai delegasi Malaysia ke COP30.

Tema: “Climate Action Now: Net Zero Pathways Unlocked”

Mengulangi momentum yang dibina sejak COP29, Pavilion Malaysia tahun ini mengetengahkan usaha negara merentas kerajaan, industri dan masyarakat sivil melalui pendekatan whole-of-nation.

Sebagai salah satu daripada tiga negara mega-hutan khatulistiwa dunia, Malaysia terus komited memelihara biodiversiti dan mengangkat penyelesaian berasaskan alam semula jadi sebagai teras dalam peralihan rendah karbon.

Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia turut memacu usaha serantau melalui pendekatan whole-of-region, memperkukuh kerjasama untuk tindakan iklim kolektif.

Fokus Utama Pavilion: 5 Teras Peralihan Net Zero

Pavilion Malaysia di COP30 menampilkan lima tema besar yang mencerminkan agenda iklim negara:

  1. Pemulihan Hutan Hujan, Sungai dan Terumbu Karang
  2. Peralihan Tenaga untuk Negara Sedang Membangun
  3. Keadilan Iklim di Global Selatan
  4. Ketahanan Sistem Air, Makanan dan Industri
  5. Pembiayaan untuk Net Zero

Malaysia turut menekankan keperluan tindakan global yang lebih menyeluruh untuk keadilan iklim, pembiayaan adaptasi yang inovatif serta imbangan antara pemuliharaan dan pembangunan mampan.

Dari Janji ke Tindakan

“Sebagai Implementation COP, COP30 menuntut tindakan nyata. Malaysia hadir dengan kesediaan bergerak daripada komitmen kepada pelaksanaan yang boleh diukur,” ujar Datuk Nor Yahati.

Beliau turut menegaskan komitmen Malaysia bukan sahaja pada peringkat nasional, tetapi juga memperkukuh kerjasama serantau demi masa depan mampan bersama.

Program Pavilion Malaysia di COP30

Pavilion akan menganjurkan pelbagai sesi wacana, pelancaran laporan dan kerjasama ilmiah melibatkan pihak nasional dan antarabangsa. Antara sorotan program ialah:

  • Hari 1: Pelancaran Pavilion Malaysia
  • Hari 2: Pemeliharaan Ekosistem
  • Hari 3: Adaptasi dalam Tindakan
  • Hari 4: Ketahanan sebagai Teras
  • Hari 5: Peralihan Tenaga
  • Hari 6: Pembiayaan Masa Depan
  • Hari 7–10: Sinergi Kelestarian, Suara Baharu, Ekonomi Hijau & Biru, Paradigma Kemajuan

Rakan Peneraju Pavilion

Pavilion Malaysia dianjurkan oleh NRES bersama MGTC, dengan sokongan rakan utama seperti:

  • Tenaga Nasional Berhad (TNB)
  • Maybank
  • Pos Malaysia
  • Yinson Holdings Berhad
  • UN SDSN
  • Sunway Centre for Planetary Health
  • Amanah Lestari Alam (ALAM) — Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB)
  • SPAN
  • Air Selangor
  • World Bank
  • Universiti Malaya

 

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top