PARIT, PERAK — Tiga remaja lelaki berusia 16 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Parit atas pertuduhan melakukan perbuatan menghina terhadap seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun dengan menanggalkan seluar mangsa di hadapan orang ramai.
Menurut laporan, kejadian berlaku di dewan sebuah sekolah menengah di Parit pada 14 November lalu sekitar jam 8.30 pagi.
Ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Izalina Rajaai, ketiga-tiga tertuduh mengaku tidak bersalah. Prosiding dijalankan secara tertutup memandangkan semua pihak terlibat masih di bawah umur.
Mereka bersama-sama didakwa menolak serta menanggalkan seluar mangsa dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 507B Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Mohd Syukri Abdul Talib, manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Nur Nadzrah Badarudin daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Pihak pembelaan merayu jaminan minimum dengan alasan kesemua tertuduh masih bersekolah dan berdepan kekangan kewangan keluarga.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM500 setiap tertuduh.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 16 Disember bagi mendapatkan laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
