Pejabat Perdana Menteri (PMO) memaklumkan bahawa keputusan berhubung senarai lantikan menteri dan timbalan menteri akan dibuat pada suatu masa kelak, selepas melalui proses pertimbangan yang teliti.
Menurut kenyataan rasmi, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membuat keputusan tersebut berdasarkan pertimbangan yang “cermat, berhemah serta berlandaskan kepentingan rakyat dan hala tuju reformasi negara”.
Ketika ini, terdapat empat portfolio Jemaah Menteri yang masih belum diisi secara tetap, iaitu Kementerian Ekonomi; Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam; Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi; serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
Buat sementara waktu, portfolio Kementerian Ekonomi dipangku oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. Portfolio Sumber Asli dan Kelestarian Alam pula dipangku oleh Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, manakala Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dipangku oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri turut mengumumkan pelantikan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz sebagai Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkuat kuasa hari ini.
Baca juga: Tengku Zafrul Dilantik Pengerusi MIDA Dua Tahun Berkuat Kuasa Hari Ini
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menyambut baik pelantikan semula Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar sebagai Ahli Dewan Negara.
Menurut beliau, pelantikan tersebut membolehkan ketiga-tiga pemimpin itu meneruskan tugasan penting bagi memastikan kesinambungan dasar, tadbir urus serta agenda reformasi negara sejajar dengan gagasan Malaysia Madani.
Saifuddin kini menerajui Kementerian Dalam Negeri, Zambry bertanggungjawab bagi portfolio Pendidikan Tinggi, manakala Na’im memegang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
