Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelantikan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz sebagai Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi tempoh dua tahun, berkuat kuasa hari ini.
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO), selain menerajui agensi pelaburan utama negara itu, Tengku Zafrul turut akan diberikan beberapa tanggungjawab tambahan yang kini sedang diperincikan dan akan diumumkan kemudian.
Pelantikan ini dibuat ketika kerajaan masih dalam proses memuktamadkan senarai lantikan menteri dan timbalan menteri, termasuk bagi beberapa portfolio Kabinet yang masih belum diisi secara tetap.
Baca juga: Senarai Menteri & Timbalan Menteri Akan Dimuktamadkan Kemudian – PMO
Tengku Zafrul sebelum ini menyandang jawatan sebagai Senator selama dua penggal, bermula Disember 2020 dan diperbaharui pada tahun lalu.
Bagaimanapun, penggal beliau sebagai Senator berakhir semalam, sekali gus bermakna beliau tidak lagi boleh kekal sebagai anggota Jemaah Menteri kecuali sekiranya dipilih sebagai Ahli Parlimen pada pilihan raya akan datang.
Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau pernah menerajui beberapa portfolio penting berkaitan kewangan dan ekonomi negara.
