Umum

Hanya 18% Jemaah Tangguh Terima Tawaran Haji Sejak 2015 – Zulkifli Hasan

Hanya 18 peratus bakal jemaah haji dalam giliran memilih untuk menangguhkan tawaran menunaikan ibadah haji yang dikeluarkan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) sejak 2015, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan.

Beliau berkata, walaupun terdapat penangguhan, kuota rasmi tahunan Malaysia sebanyak 31,600 jemaah yang diberikan oleh kerajaan Arab Saudi sentiasa dipenuhi 100 peratus setiap tahun.

Menurutnya, setiap kekosongan yang berlaku akibat penangguhan akan diisi segera melalui senarai permohonan rayuan bagi menunaikan haji menerusi aplikasi THiJARI, sekali gus memastikan kuota rasmi negara dimanfaatkan sepenuhnya.

“Tahun ini sahaja, TH menerima lebih 84,000 permohonan rayuan untuk menunaikan ibadah haji,” katanya ketika menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.

Zulkifli turut menjelaskan bahawa penangguhan tawaran haji bukan semata-mata disebabkan faktor kewangan. Sebaliknya, 31 peratus berpunca daripada faktor peribadi, manakala 20 peratus melibatkan isu kesihatan.

Bagi mengurangkan risiko pembatalan tawaran saat akhir, TH telah mengeluarkan peringatan awal melalui SMS, e-mel, media serta aplikasi THiJARI, agar bakal jemaah membuat persediaan kesihatan lebih awal. Selain itu, penilaian istita’ah (kemampuan) juga terus dilaksanakan secara ketat bagi memastikan hanya jemaah yang benar-benar bersedia ditawarkan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan bahawa jumlah deposit di TH terus mencatat peningkatan, mencecah RM93.35 bilion setakat bulan lalu, berbanding RM75.9 bilion pada 31 Disember 2020.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top