Umum

Kerajaan Sahkan Tiada Kenaikan Tol 2026, Umum Diskaun 50% Sempena Krismas

Kerajaan mengesahkan komitmen untuk mengekalkan kadar tol sedia ada sepanjang tahun 2026 melibatkan 10 lebuh raya utama di seluruh negara, selain mengumumkan diskaun tol 50% selama dua hari sempena sambutan Hari Krismas 2025.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata keputusan mengekalkan kadar tol itu telah dipersetujui secara retrospektif dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Disember 2025, selaras dengan pengumuman Perdana Menteri pada 23 Julai lalu menerusi Pengumuman Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia.

“Kerajaan MADANI kekal komited untuk melindungi kebajikan rakyat dengan memastikan tiada kenaikan kadar tol dilaksanakan sepanjang tahun 2026,” katanya menerusi kenyataan kementerian.

Langkah itu melibatkan 10 lebuh raya, iaitu Lebuhraya Cheras–Kajang (GRANDSAGA), Lebuhraya KL–Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru (NNKSB), Lebuhraya Senai–Desaru (SDE), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Lebuhraya Duta–Ulu Kelang (DUKE), Lebuhraya Kuala Lumpur–Putrajaya (MEX) dan Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB).

Bagi mengekalkan kadar tol tersebut, Kerajaan perlu menanggung pampasan berjumlah RM591.56 juta bagi tahun 2026, namun memilih untuk mendahulukan kepentingan rakyat dalam usaha meringankan kos sara hidup.

Diskaun Tol 50% Sempena Hari Krismas

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Kerja Raya turut mengumumkan diskaun tol 50% kepada pengguna kenderaan persendirian kelas 1 (kelas 2 di Jambatan Pulau Pinang) selama dua hari pada 23 dan 24 Disember 2025, bersempena sambutan Hari Krismas pada 25 Disember.

Diskaun tersebut melibatkan semua plaza tol di seluruh negara, kecuali plaza tol di pintu masuk sempadan iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang (LINKEDUA).

Kerajaan dianggarkan menanggung implikasi kewangan sebanyak RM20.65 juta bagi membayar pampasan kepada syarikat konsesi lebuh raya yang terlibat.

Menurut kementerian, inisiatif itu bertujuan membantu meringankan kos perjalanan rakyat, khususnya mereka yang pulang ke kampung halaman atau bercuti bersama keluarga sempena cuti sekolah, selain membantu penyuraian trafik musim perayaan.

Pengguna lebuh raya digalakkan merancang perjalanan lebih awal dengan menggunakan TuJu Highway Navigation App LLM dan MyPLUS-TTA, serta mematuhi jadual travel time advisory (TTA) dan peraturan keselamatan jalan raya.

Maklumat trafik terkini boleh diperoleh menerusi media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) atau dengan menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752.

Kerajaan turut menyeru semua pengguna lebuh raya supaya memandu dengan berhemah bagi memastikan keselamatan sepanjang musim perayaan.


 

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top