Umum

Najib rayu keputusan Mahkamah Tinggi tolak permohonan tahanan rumah

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Perkara itu dimaklumkan peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, selepas Hakim Alice Loke Yee Ching menolak permohonan semakan kehakiman bagi menguatkuasakan adendum atau titah tambahan yang didakwa membenarkan Najib menjalani hukuman tersebut di rumah.
“Kita akan buat rayuan,” kata Shafee dalam sidang media selepas keputusan mahkamah diumumkan hari ini.
Menurut Shafee, pihak pembelaan kecewa dengan keputusan berkenaan dan berpandangan beberapa isu penting tidak dianalisis dengan sewajarnya oleh mahkamah.
“Kami berpendapat hakim tidak menganalisanya dengan betul,” katanya.
Dalam penghakimannya, Hakim Alice Loke berkata Yang di-Pertuan Agong merupakan raja berperlembagaan dan kuasa serta fungsi baginda hendaklah dilaksanakan mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Tahun lalu, Najib memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi memaksa kerajaan melaksanakan adendum yang didakwa membolehkan beliau menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.
Beliau mendakwa titah tambahan itu tidak pernah diumumkan secara rasmi oleh Lembaga Pengampunan dan menegaskan kegagalan kerajaan melaksanakannya merupakan satu penghinaan terhadap mahkamah.
Pada 6 Januari lalu, Mahkamah Rayuan melalui keputusan majoriti 2-1 membenarkan adendum tersebut dikemukakan sebagai bahan bukti serta memberi kebenaran kepada Najib untuk meneruskan prosiding semakan kehakiman.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top