Kerajaan MADANI bersetuju memberikan potongan tol sebanyak 50 peratus daripada kadar biasa sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026, selaras dengan usaha memelihara perpaduan dan kesejahteraan rakyat berbilang kaum di negara ini.
Keputusan tersebut dibuat dalam Mesyuarat Kabinet, dengan implikasi kewangan dianggarkan berjumlah RM19.5 juta bagi membayar pampasan kepada syarikat konsesi tol yang terlibat.
Menurut Kementerian Kerja Raya, inisiatif berkenaan bertujuan meringankan kos perjalanan rakyat Malaysia yang merancang pulang ke kampung halaman untuk menyambut Tahun Baharu Cina bersama keluarga, selain mereka yang mengambil peluang bercuti atau membuat persiapan awal Ramadan.
Pelaksanaan diskaun tol ini akan bermula pada jam 12.01 tengah malam, 14 Februari 2026 (Sabtu) dan berakhir pada jam 11.59 malam, 15 Februari 2026 (Ahad).
Diskaun tersebut melibatkan kenderaan persendirian Kelas 1 di semua plaza tol serta Kelas 2 bagi Jambatan Pulau Pinang. Namun, ia tidak terpakai di plaza tol sempadan negara, iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia–Singapura (LINKEDUA).
Pemilihan tarikh pelaksanaan ini dibuat bagi mengelakkan penumpuan trafik pada hari perjalanan puncak, selain mengoptimumkan pengoperasian serta penyelarasan logistik tambahan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) serta hentian sebelah lebuh raya.
Pengguna lebuh raya digalakkan merancang perjalanan dengan sewajarnya bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas, serta memanfaatkan aplikasi MyPLUS-TTA dan TuJu Highway Navigation App LLM untuk mendapatkan cadangan jadual perjalanan yang lebih selamat dan selesa.
Selain itu, semua pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi papan tanda, had laju, dan maklumat yang dipaparkan di Variable Message System (VMS). Pengguna lorong Smart Lane pula diminta memberi isyarat awal sebelum memasuki lorong, memandu mengikut kelajuan ditetapkan dan sentiasa peka dengan keadaan sekeliling.
Bagi mendapatkan maklumat trafik semasa atau sebarang insiden lebuh raya, orang ramai boleh merujuk saluran rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di Facebook, X dan TikTok, menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752, atau melayari laman sesawang rasmi LLM bagi paparan CCTV serta WhatsApp Channel LLM Info Trafik.
Kerajaan turut mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baharu Cina 2026 kepada seluruh rakyat Malaysia, dengan harapan semua pengguna jalan raya tiba ke destinasi masing-masing dengan selamat.
