Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC) menandakan pelancaran Malaysia Healthcare Week Phnom Penh 2026 menerusi sesi pengenalan hospital yang dianjurkan dengan kerjasama OneHealth Cambodia, sekali gus mengukuhkan kerjasama rentas sempadan dalam sektor pelancongan perubatan.
Inisiatif ini merupakan penglibatan rasmi pertama MHTC di Kemboja bagi tahun 2026 dan sebahagian daripada kempen Malaysia Year of Medical Tourism (MYMT) 2026 yang bertemakan “Healing Meets Hospitality”. Sesi tersebut menghimpunkan wakil hospital swasta terkemuka Malaysia dan OneHealth Cambodia bagi meneroka peluang kerjasama, memperkukuh koordinasi rujukan pesakit serta menyelaraskan laluan penjagaan kesihatan merentas negara.
Sepanjang Malaysia Healthcare Week Phnom Penh 2026, Malaysia mengetengahkan keupayaan perubatannya melalui institusi terkemuka termasuk Subang Jaya Medical Centre, penerima FMTH Brand Distinction Excellence Award, serta Institut Jantung Negara (IJN) yang memenangi FMTH Medical Excellence dan Medical Technology Distinction pada Flagship Medical Tourism Hospital Awards (FMTH) 2025.
Hospital lain yang turut diketengahkan termasuk Sunway Medical Centre Penang, IHH Healthcare, Prince Court Medical Centre, Pantai Hospital Kuala Lumpur, MSU Medical Centre dan OPTIMAX Eye Specialist Centre. Sesi tersebut menekankan pusat kecemerlangan dalam bidang kepakaran khusus, kemudahan bertaraf antarabangsa serta model penjagaan multidisiplin bersepadu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MHTC, Suriaghandi Suppiah, Kemboja merupakan rakan strategik penting bagi Malaysia Healthcare. “Berdasarkan angka sehingga September 2025, jumlah pengembara kesihatan dari Kemboja meningkat sebanyak 81 peratus, daripada lebih 4,400 kepada hampir 8,000 orang berbanding tempoh sama tahun sebelumnya. Ini menyumbang kepada peningkatan hasil sebanyak 228 peratus kepada RM7.9 juta, mencerminkan permintaan yang lebih kukuh dan rawatan bernilai tinggi berasaskan kepercayaan terhadap kualiti penjagaan kesihatan Malaysia,” katanya.
Sesi berkenaan turut dihadiri T.Y.T Neak Oknha Datuk Dr Othsman Hassan, Menteri Kanan Bertanggungjawab bagi Misi Khas (Hal Ehwal Islam) Kemboja.
Selain aspek klinikal, perbincangan turut merangkumi mobiliti pesakit termasuk kemudahan perjalanan, sensitiviti budaya serta susulan pasca rawatan. Pendekatan menyeluruh ini mencerminkan komitmen Malaysia Healthcare yang bukan sahaja menekankan kecemerlangan perubatan, malah hospitaliti, empati dan reka bentuk perkhidmatan berteraskan pesakit.
Selari dengan kepimpinan Malaysia dalam Malaysia Year of Medical Tourism 2026, inisiatif seperti ini menghidupkan semangat “Healing Meets Hospitality” dengan menggabungkan penjagaan perubatan berkualiti tinggi bersama nilai kemanusiaan dan kefahaman budaya. MHTC terus komited membina perkongsian jangka panjang yang meningkatkan standard penjagaan kesihatan serta hasil rawatan pesakit di peringkat serantau.
