Usaha 30 Tahun Lenyap Dalam Kebakaran, Keluarga Di Jerantut Rayu Bantuan
JERANTUT — Lebih tiga dekad usaha membina kehidupan musnah dalam sekelip mata apabila sebuah rumah keluarga di Blok A, Felda Sungai Rentang di sini, hangus dalam kebakaran awal pagi Ahad lalu.
Kejadian sekitar jam 2 pagi itu memusnahkan keseluruhan rumah bersama enam buah kenderaan milik keluarga berkenaan, termasuk tiga lori yang menjadi sumber rezeki utama mereka sejak bertahun-tahun.
Wakil keluarga, Muhd Isyraf Mohd Fauzi, 26, berkata ketika kejadian berlaku, dia bersama bapanya, Mohd Fauzi Ismail, 58, ibu berusia 56 tahun serta adik bongsu berada di Seremban bagi menghadiri kenduri saudara.
“Kami terima berita rumah terbakar ketika berada di Seremban dan terus batalkan rancangan untuk kenduri lalu pulang ke Jerantut,” katanya.
Menurut Muhd Isyraf, kepulangan mereka hanya disambut sisa kebakaran apabila rumah dan enam kenderaan milik keluarga musnah, termasuk tiga buah lori yang digunakan bapanya untuk kerja mengangkut sawit.
“Daripada tiga lori itu, dua musnah sepenuhnya manakala sebuah lagi masih boleh dibaiki tetapi kosnya sangat tinggi,” katanya.
Tambahnya, lori-lori tersebut merupakan punca utama rezeki keluarga sejak hampir 30 tahun lalu, bermula sebagai pekerja sebelum bapanya berjaya memiliki kenderaan sendiri hasil usaha berterusan.
Lebih memeritkan, wang tunai serta rekod kewangan perniagaan turut hangus dalam kebakaran, menyebabkan keluarga itu kini berdepan tuntutan bayaran gaji pekerja tanpa sebarang dokumen rujukan.
“Ayah terbeban kerana gaji pekerja perlu dibayar tetapi semua wang dan rekod telah musnah,” katanya.
Selain itu, Mohd Fauzi yang juga berperanan sebagai Ketua Blok dan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) turut terkesan apabila urusan jual beli sawit penduduk setempat yang diuruskannya tergendala akibat kehilangan wang tunai serta resit urus niaga.
“Sekarang kami tinggal di bahagian belakang rumah yang terbakar, di kawasan surau keluarga yang ayah bina dan dipasang khemah untuk berlindung. Itu satu-satunya tempat kami berteduh,” katanya.
Buat masa ini, keluarga tersebut amat memerlukan bantuan kewangan serta kelengkapan persekolahan untuk dua anak yang masih bersekolah di peringkat menengah dan rendah.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Pertubuhan Amal Dan Kebajikan ROTIKAYA melalui CIMB Bank 8604675654.
Sumber asal: Rotikaya
