Umum

Dasar Peluang Kedua Fast Track Bantu Golongan Bankrap Bangkit Semula

PUTRAJAYA: Kerajaan memperkenalkan Dasar Peluang Kedua Fast Track sebagai langkah segera untuk mempercepat pelepasan bankrap melibatkan empat kumpulan sasar utama, sekali gus membuka ruang kepada mereka membina semula kehidupan dengan lebih bermaruah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, berkata dasar itu memberi laluan ekspres kepada individu yang terkesan akibat kegagalan kewangan, termasuk mereka yang tidak jatuh bankrap kerana kesilapan sendiri tetapi disebabkan tekanan hidup dan faktor di luar kawalan.

Empat kumpulan sasar tersebut ialah ibu atau bapa tunggal, usahawan pinjaman mikro, mangsa penipuan kewangan (scam) serta peminjam perumahan bagi projek perumahan terbengkalai.

Menurut beliau, pelaksanaan Fast Track membolehkan ibu atau bapa tunggal kembali bekerja, usahawan memulakan semula perniagaan dan mangsa scam menarik nafas lega selepas terperangkap dalam kitaran hutang yang berpanjangan.

“Dasar ini bukan sekadar penjenamaan baharu, tetapi komitmen kerajaan untuk mempercepat keadilan melalui pendekatan yang empati dan berperikemanusiaan,” katanya pada peluncuran Program Pelepasan Dasar Peluang Kedua Fast Track Jabatan Insolvensi Malaysia.

Azalina berkata, dasar berkenaan selari dengan kerangka Malaysia Madani yang berpaksikan nilai Ihsan, dengan pendekatan tidak menghukum selamanya sebaliknya memberi ruang kepada rakyat untuk bangkit dan menyumbang semula kepada negara.

Beliau turut menegaskan bahawa kegagalan kewangan bukanlah noktah akhir kehidupan, sebaliknya boleh menjadi titik kebangkitan jika disokong oleh sistem yang adil dan efisien.

Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Insolvensi Malaysia merekodkan kejayaan menyelesaikan 176,851 kes pelepasan bankrap pada 2024 dan 204,487 kes lagi pada tahun lalu.

“Ini bukan sekadar angka, tetapi lebih 381,000 kehidupan yang diberi peluang untuk bermula semula,” katanya.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top