Umum

Tragedi Keluarga di Kuantan: Lima Maut Termasuk Dua Kanak-kanak, Polis Siasat Motif

Gambar Facebook

KUANTAN: Lima sekeluarga ditemukan maut dalam satu kejadian tragis di sebuah rumah teres setingkat di Lorong Cherating Damai, Kuantan, Pahang, pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, dua kanak-kanak perempuan berusia tiga dan empat tahun turut menjadi mangsa, bersama ibu bapa mereka serta nenek keluarga berkenaan.

Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman, berkata siasatan awal mendapati seorang lelaki berusia 32 tahun dipercayai mencederakan isteri, dua anak serta ibunya menggunakan senjata tajam disyaki pisau sebelum bertindak mencederakan diri sendiri.

Menurutnya, mayat pasangan suami isteri berusia 32 dan 28 tahun bersama dua anak mereka ditemukan di dalam bilik, manakala mayat nenek berusia 55 tahun dijumpai di ruang dapur rumah berkenaan.

“Terdapat mangsa yang mempunyai kesan kelar. Kejadian itu disedari oleh adik lelaki suspek berusia 15 tahun yang berada di rumah ketika kejadian sebelum bertindak mendapatkan bantuan,” katanya ketika ditemui di lokasi.

Beliau berkata, hasil siasatan awal juga mendapati lelaki berkenaan baru sebulan berpindah menetap di rumah keluarganya selepas berhenti kerja di Selangor, dan baru seminggu memulakan pekerjaan baharu di Kuantan.

Sementara itu, Ketua Polis Kuantan, Ashari Abu Samah, mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan pasukan forensik masih menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

Sehingga lewat pagi tadi, mayat semua mangsa belum dibawa keluar dari rumah sementara polis memasang garisan keselamatan bagi mengawal keadaan. Orang awam dan ahli keluarga turut dilihat berkumpul di kawasan berhampiran.

Pihak polis menegaskan bahawa motif kejadian masih dalam siasatan dan orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top