Umum

85% Kes Tibi Libat Rakyat Tempatan, Bukan Warga Asing – Menteri Kesihatan

PETALING JAYA: Sebanyak 85 peratus kes tuberkulosis (tibi) yang dilaporkan di Malaysia melibatkan rakyat tempatan, sekali gus menafikan persepsi bahawa penularan penyakit itu berpunca daripada kemasukan warga asing.

Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad, berkata data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan hanya 15 peratus kes tibi melibatkan warga asing, manakala majoriti penularan berlaku dalam komuniti tempatan.

“Ini bermakna risiko penularan dalam komuniti kita adalah nyata dan tidak boleh dipandang enteng,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Menurut Dzulkefly, tibi bukanlah fenomena baharu dalam landskap kesihatan awam negara, sebaliknya telah lama wujud dan kekal sebagai penyakit endemik yang memerlukan perhatian serius semua pihak.

Beliau menjelaskan bahawa tibi bukan sekadar isu klinikal, malah turut dipengaruhi oleh faktor sosioekonomi seperti kesesakan penempatan dan kekurangan zat makanan.

Bagaimanapun, Dzulkefly menegaskan bahawa penyakit itu boleh dicegah, dirawat dan sembuh sepenuhnya sekiranya dikesan awal dan pesakit mematuhi rejimen rawatan antibiotik selama sekurang-kurangnya enam bulan.

“Kuman Mycobacterium tuberculosis memang sangat degil, namun pematuhan rawatan adalah kunci utama untuk memastikan pesakit sembuh sepenuhnya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai supaya lebih cakna terhadap gejala tibi, termasuk batuk berpanjangan melebihi dua minggu, demam atau peluh malam, serta penurunan berat badan, dan segera mendapatkan pemeriksaan di klinik kesihatan.

Dalam masa sama, beliau menasihatkan masyarakat agar tidak memulaukan pesakit tibi, sambil menegaskan bahawa sokongan emosi daripada keluarga dan komuniti amat penting bagi membantu pesakit melengkapkan rawatan.

Sebagai langkah pencegahan, ibu bapa turut digalakkan memastikan anak-anak menerima imunisasi Bacillus Calmette–Guérin (BCG), di samping mengamalkan gaya hidup sihat dan memastikan pengudaraan rumah yang baik.

Dzulkefly turut memaklumkan bahawa KKM kekal komited memperkasakan strategi pengesanan aktif serta bekerjasama dengan pelbagai agensi melalui pendekatan whole-of-government bagi menamatkan endemik tibi di Malaysia.

“Sama-sama kita lindungi keluarga dan komuniti kita,” katanya.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top