Umum

Hanya Ibu Bapa Boleh Buka Akaun Media Sosial Anak Bawah 16 Tahun, Kata Fahmi

KUALA LUMPUR: Kanak-kanak berumur bawah 16 tahun tidak dibenarkan membuka akaun media sosial sendiri, sebaliknya akaun hanya boleh diwujudkan dan dikendalikan oleh ibu bapa.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata langkah itu bertujuan melindungi golongan bawah umur daripada risiko keselamatan dalam talian termasuk ancaman pemangsa siber yang boleh menghubungi kanak-kanak melalui pelbagai platform media sosial.

“Isu utamanya ialah siapa yang mengawal akaun tersebut… kita tidak mahu anak-anak yang mengawal akaun itu sendiri. Kalau akaun itu dibuka oleh ibu bapa, sekurang-kurangnya mereka boleh tahu kalau ada individu yang tidak dikenali berhubung dengan anak mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Program Sejahtera Madani Kebajikan: Sumbangan Ihsan Kasih Ramadan di ibu negara.

Kerajaan Laksana ‘Regulatory Sandbox’

Menurut Fahmi, kerajaan kini sedang melaksanakan ‘regulatory sandbox’ atau medan uji bersama platform media sosial bagi mengenakan sekatan umur minimum 16 tahun untuk pendaftaran akaun baharu.

Pendekatan Malaysia berbeza daripada model pengesahan umur yang digunakan di Australia. Malaysia akan memanfaatkan perundangan khusus berkaitan MyKad sebagai elemen keselamatan tambahan bagi tujuan pengesahan identiti dan umur pengguna.

Boleh Tonton, Tapi Tidak Boleh Buka Akaun

Fahmi turut menjelaskan bahawa kanak-kanak masih dibenarkan mengakses kandungan tertentu seperti di YouTube, namun mereka tidak boleh membuka akaun sendiri.

“Anak-anak masih dibenarkan menonton kandungan seperti di YouTube… cuma mereka tidak boleh membuka akaun sendiri,” katanya.

“Peranti Bukan Pengasuh”

Dalam pada itu, beliau mengingatkan ibu bapa supaya lebih prihatin terhadap aktiviti digital anak-anak dan tidak membiarkan mereka menggunakan peranti tanpa pengawasan terlalu lama.

“Peranti bukan pengasuh. Ibu bapa ada tanggungjawab juga,” tegasnya.

Langkah ini dilihat sebagai usaha memperkukuh keselamatan dalam talian kanak-kanak selaras dengan peningkatan risiko ancaman siber melibatkan golongan bawah umur.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top