PETALING JAYA – Isu buli dan beban tugas guru di sekolah berasrama kini mendapat perhatian apabila 58 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) akan menempatkan warden sepenuh masa mulai tahun depan.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Asyraf Wajdi Dusuki berkata, warden tersebut akan terdiri daripada bekas anggota beruniform yang dipilih melalui saringan ketat.
Fokus Atasi Buli & Kurangkan Beban Guru
Menurut beliau, langkah ini bertujuan memastikan guru tidak lagi terbeban dengan tugas warden, sebaliknya boleh memberi fokus sepenuhnya kepada pengajaran dan pembangunan pelajar.
Warden yang dilantik juga diwajibkan menjalani latihan bagi memahami Falsafah Pendidikan Mara sebelum memulakan tugas.
Projek Rintis Dah Dilaksanakan
Sebelum ini, Mara telah menjalankan projek rintis melibatkan pelantikan veteran tentera sebagai warden di dua MRSM selama enam bulan.
Inisiatif tersebut akan diperluaskan ke seluruh negara sekiranya pelaksanaannya menunjukkan hasil positif.
