Bakat reka bentuk perabot tempatan terus mendapat pengiktirafan apabila pereka muda Malaysia mempamerkan kreativiti dan inovasi bertaraf antarabangsa pada majlis Anugerah Malaysian International Furniture Fair (MIFF) 2026.
Majlis anugerah yang berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) itu meraikan kecemerlangan reka bentuk dalam industri perabot menerusi beberapa kategori utama termasuk Furniture Design Competition (FDC), Best Presentation Award (BPA) dan Furniture Excellence Award (FEA).
Anugerah disampaikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi, Dato’ Razali Mohamad di hadapan pengeluar perabot, pemborong, peruncit, pereka serta wakil media dari dalam dan luar negara.
Jessica Antonius muncul juara FDC 2026
Bagi kategori utama Furniture Design Competition (FDC) 2026, Jessica Antonius dari Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU) muncul juara dengan reka bentuk bertajuk ROEL, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000.
Tempat kedua dimenangi Doo Jade Qi dari Malaysian Institute of Art menerusi rekaan GLORB dengan hadiah RM3,000, manakala tempat ketiga milik Teh Jian Yin dari The One Academy Penang melalui REKA REKA SERIES yang menerima RM2,000.
Sementara itu, Prathiin Saravanamuthu dari Universiti Sains Malaysia menerima Anugerah Sebutan Khas bagi reka bentuk STACKABLOCK.
Tahun ini, pertandingan FDC mencabar pereka berusia bawah 40 tahun menghasilkan perabot bilik tidur kanak-kanak berumur 5 hingga 9 tahun, dengan tema “Playful. Practical. Purposeful: Furniture for Generation Alpha.”
Reka bentuk yang dipilih menonjolkan gabungan fungsi, keselamatan, ergonomik dan kreativiti, selari dengan keperluan generasi Alpha serta ibu bapa milenial.
Secara keseluruhan, 138 penyertaan daripada 37 institusi reka bentuk dan syarikat swasta diterima bagi edisi tahun ini.
Pengiktirafan kepada mentor dan institusi
Dalam kategori lain, Ooi Aik Khong dari APU memenangi Best Mentor Award bernilai RM2,000, selain institusi itu turut meraih Best Institution Award buat tahun kedua berturut-turut.
Syarikat perabot turut raih anugerah utama
Bagi kategori Best Presentation Award, tempat pertama dimenangi Chuanheng Furniture Products Sdn Bhd, diikuti Foshan Linsy Home Co., Ltd. di tempat kedua dan Zhin Sheng Furniture Sdn Bhd di tempat ketiga.
ELK-Desa Furniture Products Sdn Bhd menerima pengiktirafan Informa Better Stands, manakala xOrdinary menerima Anugerah Sebutan Khas.
Sementara itu, bagi kategori Furniture Excellence Award, Eastern Decorator Sdn Bhd memenangi Platinum Award, diikuti Luxury Sleep Products Sdn Bhd (Gold Award) dan Instyle Sofa Sdn Bhd (Silver Award).
Anugerah penghargaan juri turut diberikan kepada Best-Beteck Furniture Sdn Bhd bagi kategori isi rumah dan Heshan Zonman Furniture Limited bagi kategori pejabat.
MIFF terus sokong pembangunan industri
Pengurus Besar MIFF, Kelie Lim, berkata pencapaian pereka muda dan pemain industri ini mencerminkan masa depan cerah sektor perabot Malaysia.
Menurutnya, sejak lebih tiga dekad lalu, MIFF memainkan peranan penting dalam memperkukuh pertumbuhan industri perabot tempatan serta membantu melahirkan lebih ramai pereka berbakat.
Kini memasuki edisi ke-32, MIFF 2026 berlangsung dari 4 hingga 7 Mac di dua lokasi iaitu MITEC dan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL).
Dengan konsep “1 Fair, 2 Venues, 17 Halls”, pameran perdagangan ini meliputi 100,000 meter persegi ruang pameran, menghimpunkan hampir 700 pempamer serta kira-kira 20,000 pembeli dari 140 negara dan wilayah.
