Business

Panglima Angkatan Tentera Santuni Warga Kerja Dalam Majlis Iftar Ramadan

BANGI, 8 Mac – Suasana penuh kemesraan dan semangat kekeluargaan mewarnai Majlis Iftar Ramadan bersama warga kerja pejabat Angkatan Tentera Malaysia yang dihadiri Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Haji Malek Razak Sulaiman di Cafe Randau Rasa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.

Beliau hadir bersama isteri, Datin Hajah Siti Juana Md Ibrahim bagi menyantuni warga kerja serta keluarga mereka dalam majlis yang berlangsung dalam suasana santai dan harmoni sempena bulan Ramadan.

Seramai 159 warga kerja pejabat Panglima Angkatan Tentera bersama ahli keluarga masing-masing menghadiri majlis tersebut yang bertujuan mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara kepimpinan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia dan warga kerja.

Sepanjang majlis berlangsung, Panglima Angkatan Tentera turut meluangkan masa beramah mesra bersama para hadirin, sekali gus mencerminkan hubungan akrab serta semangat kebersamaan dalam kalangan warga pejabat Panglima Angkatan Tentera.

Majlis turut diserikan dengan beberapa pengisian antaranya acara serahan kurma, sambutan ulang tahun kelahiran serta penyampaian duit raya kepada anak-anak warga kerja, yang menambahkan lagi keceriaan dalam kalangan keluarga yang hadir.

Program tersebut kemudian diteruskan dengan Solat Maghrib, Isyak dan Solat Sunat Terawih secara berjemaah, memberi peluang kepada warga kerja dan keluarga bersama-sama mengimarahkan Ramadan dalam suasana penuh keberkatan.

Penganjuran majlis seumpama ini bukan sahaja menjadi medan berbuka puasa bersama, malah memperkukuhkan lagi nilai kebersamaan, penghargaan serta semangat kekeluargaan dalam kalangan warga kerja Angkatan Tentera Malaysia.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top