Umum

Kajian Pilihan Raya PBT Kuala Lumpur Dijangka Siap Hujung Mac

Kajian kebolehlaksanaan pindaan Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 bagi mengadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kuala Lumpur, termasuk pemilihan datuk bandar, dijangka siap pada hujung bulan ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata kajian tersebut sedang dilaksanakan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan laporan interim telah pun dibentangkan kepada kerajaan.

Menurut beliau, proses kajian masih berjalan termasuk sesi temu bual bersama pihak berkepentingan sebelum laporan akhir disiapkan.

“Lepas bulan Mac mereka (UIAM) siapkan, jika tidak mereka akan berjumpa dengan kita. Mereka dah berjumpa sekali dan dah ada laporan interim, tetapi sesi temu bual dengan pihak berkepentingan masih berjalan,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian pada sidang media berkaitan pengukuhan kesedaran keselamatan kebakaran di bangunan strata berketumpatan tinggi di Kuala Lumpur.

Menurut Yeoh, laporan tersebut belum dibentangkan kepada Jemaah Menteri kerana kerajaan masih menunggu kajian lengkap disiapkan terlebih dahulu.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil turut meminta semua pihak agar tidak memandang rendah keupayaan universiti awam seperti UIAM dalam melaksanakan kajian berkaitan kebolehlaksanaan pilihan raya PBT dan pelantikan datuk bandar Kuala Lumpur.

Pada 3 Februari lalu, Yeoh dilaporkan berkata kajian mengenai pilihan raya PBT di ibu kota itu telah dimulakan sejak Disember tahun lalu susulan cadangan rang undang-undang persendirian yang dibentangkan oleh seorang ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Jika dilaksanakan, pilihan raya PBT berpotensi memberi peluang kepada penduduk bandar untuk memilih wakil kepimpinan kerajaan tempatan secara langsung.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top