Kerajaan Malaysia memulakan operasi membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di Timur Tengah susulan ketegangan keselamatan yang semakin meruncing di rantau tersebut.
Sebuah pesawat sewaan khas milik Malaysia Airlines dilaporkan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 4.10 petang hari ini menuju ke Jeddah, Arab Saudi.
Pesawat berkenaan dijadualkan tiba pada 8.50 malam waktu tempatan, bagi membawa pulang kira-kira 200 rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelajar, pengembara serta jemaah umrah.
Menurut laporan agensi berita Bernama, mereka yang akan dibawa pulang termasuk rakyat Malaysia yang terkandas di beberapa negara sekitar rantau tersebut seperti Syria, Jordan dan Qatar.
Operasi ini merupakan sebahagian daripada Operasi Evakuasi Rakyat Malaysia yang diselaraskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan kerjasama rapat Kementerian Luar Negeri melalui pejabat perwakilan Malaysia di negara-negara berkaitan.
Ketegangan di Timur Tengah dilaporkan semakin meningkat sejak 28 Februari lalu, susulan serangan oleh Israel dan Amerika Syarikat terhadap Iran, yang kemudian disusuli serangan balas oleh Tehran terhadap kepentingan Amerika di beberapa negara Teluk.
Situasi keselamatan yang tidak menentu menyebabkan sebahagian rakyat Malaysia yang berada di rantau tersebut menghadapi kesukaran untuk pulang ke tanah air, sekali gus mendorong kerajaan melaksanakan operasi evakuasi khas.
Kerajaan dijangka terus memantau perkembangan semasa di rantau itu bagi menentukan sama ada misi evakuasi tambahan perlu dilaksanakan dalam masa terdekat.
