Pulau Pinang Teroka Potensi Pelaburan Industri Halal Bersama Brahim’s
GEORGE TOWN – Pulau Pinang terus meneroka peluang memperkukuh sektor ekonomi halal menerusi pertemuan antara Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato’ Seri Utama Ramli Ngah Talib, dan delegasi Brahim’s Dewina Holdings Sdn Bhd.
Menurut perkongsian di Facebook rasmi Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli, kunjungan hormat itu membincangkan potensi kerjasama strategik melibatkan industri makanan halal, hospitaliti, pelaburan dan pelancongan.
Delegasi Brahim’s Dewina Holdings Sdn Bhd diketuai oleh Pengasas dan Pengerusi Eksekutifnya, Dato’ Seri Ibrahim Ahmad.
Perbincangan turut memberi tumpuan kepada perkembangan semasa industri makanan halal, hospitaliti serta perkhidmatan katering di peringkat domestik dan antarabangsa.
Pihak Brahim’s turut berkongsi pencapaian syarikat dalam memperkukuhkan jenama halal Malaysia di pasaran global melalui standard kualiti, inovasi produk serta rangkaian perniagaan strategik di pelbagai negara.
Selain itu, kedua-dua pihak turut membincangkan potensi kerjasama dalam sektor pembangunan ekonomi, pelaburan dan pelancongan, termasuk usaha menarik pelaburan bernilai tinggi serta meningkatkan daya saing perusahaan tempatan di Pulau Pinang.
Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato’ Seri Utama Ramli Ngah Talib dalam perkongsian sama turut merakamkan penghargaan terhadap kejayaan syarikat tempatan yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa serta mengangkat nama Malaysia sebagai antara pemain utama industri halal global.
“Semoga syarikat ini akan terus berkembang maju sebagai peneraju industri halal dan hospitaliti serantau,” katanya.
Perkembangan itu dilihat selari dengan usaha memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab halal global, selain menyokong pertumbuhan sektor pelancongan dan ekonomi berasaskan halal menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
