Umum

Upload IC Untuk Guna Media Sosial? Pengguna Kini Perlu Sahkan Umur Guna Dokumen Rasmi

Upload IC Untuk Guna Media Sosial? Pengguna Kini Perlu Sahkan Umur Guna Dokumen Rasmi

PJ – Pengguna media sosial di Malaysia mungkin perlu memuat naik dokumen rasmi seperti kad pengenalan dan pasport untuk mengesahkan umur mereka bermula 1 Jun ini.

Langkah itu dibuat susulan pelaksanaan dua kod baharu di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA), dengan kerajaan mahu menyekat pengguna bawah 16 tahun daripada membuka atau memiliki akaun media sosial.

Dua kod yang diperkenalkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ialah Kod Perlindungan Kanak-kanak (CPC) serta Kod Pengurangan Risiko (RMC).

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata pengguna perlu mengesahkan umur menggunakan dokumen rasmi yang dikeluarkan kerajaan.

“Pengguna perlu mengesahkan umur menggunakan dokumen dikeluarkan kerajaan seperti kad pengenalan, pasport atau dokumen rasmi lain.

“Kalau sekadar isytihar sendiri, sesiapa sahaja boleh klik dan mengaku mereka berumur lebih 18 tahun,” katanya selepas merasmikan Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat di Kuching.

Platform media sosial diberi tempoh pelaksanaan

Menurut Teo, SKMM tidak menetapkan teknologi khusus yang perlu digunakan platform media sosial bagi tujuan pengesahan umur.

Katanya, kerajaan juga akan memberi tempoh sewajarnya kepada platform terlibat sebelum tindakan penguatkuasaan dilaksanakan.

“Untuk akaun sedia ada yang belum membuat pengesahan umur, SKMM masih berbincang dengan platform media sosial seperti TikTok, Facebook dan Instagram mengenai tempoh munasabah untuk pelaksanaan.

“Sesiapa yang tidak membuat pengesahan berkemungkinan akaun akan ditutup atau platform media sosial perlu menggunakan kecerdasan buatan untuk memastikan pengguna berumur 16 tahun ke atas,” katanya.

Larangan akaun bawah 16 tahun

Sebelum ini, kerajaan memutuskan bahawa kanak-kanak bawah 16 tahun tidak dibenarkan membuka atau memiliki akaun media sosial bagi platform yang mempunyai lebih lapan juta pengguna di Malaysia.

Teo berkata, dua kod baharu itu diterbitkan selepas sesi libat urus bersama pemain industri, pertubuhan masyarakat sivil dan pihak berkepentingan sejak awal tahun ini.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top