Umum

Usahawan Tani Kini Boleh Mohon Pembiayaan Hingga RM100,000

Usahawan Tani Kini Boleh Mohon Pembiayaan Hingga RM100,000 Menerusi Skim Baharu Agrobank x FAMA

KUALA LUMPUR – Berita baik buat usahawan tani dan peniaga pasar tani seluruh negara apabila Agrobank dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) melancarkan Skim Usahawan Tani Agrobank x FAMA bagi membantu mengembangkan perniagaan dan memperkukuh operasi mereka.

Skim itu dilancarkan di Pasar Tani Taman Melawati hari ini dan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut hadir ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, serta Ketua Pengarah FAMA, Encik Abdul Rashid Bahri.

Menerusi skim berkenaan, usahawan tani boleh menikmati pelbagai kemudahan termasuk pembiayaan patuh Syariah, penabungan, perlindungan takaful, transaksi digital serta latihan keusahawanan secara percuma.

Pembiayaan mikro sehingga RM100,000

Menurut Tengku Ahmad Badli Shah, skim itu menawarkan pembiayaan mikro sehingga RM100,000 bagi setiap pelanggan dengan kadar keuntungan serendah 2.5 peratus setahun.

“Ia dirangka khas bagi membantu pertumbuhan usahawan tani, khususnya dalam memperkukuh operasi perniagaan, meningkatkan daya tahan kewangan serta mengembangkan perniagaan mereka,” katanya.

Beliau berkata, seramai 1,000 usahawan tani disasarkan menerima manfaat skim berkenaan dengan permohonan dibuka sehingga 31 Disember 2026, tertakluk kepada terma dan syarat.

Latihan dan bimbingan percuma turut disediakan

Selain pembiayaan, Agrobank turut menyediakan latihan pengurusan perniagaan, kewangan dan kemahiran pemasaran kepada peserta.

Malah, usahawan terpilih juga akan menerima bimbingan secara “one-to-one” selama tiga bulan bagi membantu meningkatkan prestasi perniagaan masing-masing.

Menurut Agrobank, sebanyak RM20 juta diperuntukkan tahun ini khusus untuk membantu peniaga pasar tani di seluruh negara.

Inisiatif itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 5,000 usahawan tani dan peniaga kecil.

500 pemohon terawal terima hadiah eksklusif

Dalam masa sama, 500 pelanggan terawal yang layak memohon skim tersebut akan menerima barangan eksklusif Agrobank.

Selain itu, 200 unit DuitNow QR SoundBox turut diberikan secara percuma kepada pelanggan terpilih bagi menggalakkan penggunaan transaksi tanpa tunai di pasar tani.

Langkah itu dilihat mampu membantu peniaga mempercepatkan proses pembayaran selain meningkatkan penggunaan pembayaran digital dalam kalangan usahawan tani.

Untuk maklumat lanjut mengenai Skim Usahawan Tani Agrobank x FAMA, orang ramai boleh melayari laman rasmi Agrobank atau mengunjungi cawangan Agrobank berhampiran.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top