AICB Iktiraf Lebih 700 Profesional Perbankan, Fokus Perkukuh Bakat Masa Depan Industri Kewangan
KUALA LUMPUR – Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) terus memperkukuh pembangunan bakat industri perbankan apabila meraikan lebih 700 profesional kewangan dari Malaysia dan rantau Asia dalam 9th Chartered Banker Conferment Ceremony di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Majlis itu turut menghimpunkan ahli dari Kemboja, Maldives dan Filipina, sekali gus mencerminkan pengaruh AICB yang semakin berkembang dalam memperkasakan standard profesionalisme sektor perbankan serantau.
Acara tersebut berlangsung ketika industri kewangan global sedang berdepan perubahan besar didorong perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI), aset digital, agenda kelestarian serta landskap risiko yang semakin kompleks.
57% institusi kewangan masih di peringkat awal AI
Menurut Tinjauan Tenaga Kerja AICB 2025, sebanyak 57 peratus institusi kewangan masih berada pada peringkat awal penerapan AI.
Malah, 62 peratus responden menyatakan perkembangan teknologi yang terlalu pantas berbanding kemampuan tenaga kerja semasa menjadi cabaran utama dalam menutup jurang kemahiran.
Situasi itu menunjukkan keperluan mendesak untuk memperkukuh kesiapsiagaan tenaga kerja serta membangunkan kemahiran baharu yang relevan dengan perubahan industri.
Semasa ucaptama, Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Encik Adnan Zaylani, berkata peranan institusi perbankan kini tidak lagi terhad kepada fungsi pembiayaan tradisional.
“Bank bukan sahaja berperanan sebagai perantara kewangan, malah turut menjadi pemacu strategik transformasi ekonomi.
“Pertumbuhan ekonomi dan industri kini semakin dibayangi risiko yang kompleks serta saling berkait, sekali gus menuntut pertimbangan profesional dan penilaian risiko yang lebih berpandangan jauh,” katanya.
Bank perlu seimbang antara teknologi dan modal insan
Sementara itu, Pengerusi AICB, Tan Sri Azman Hashim, berkata sektor perbankan perlu memberi keutamaan sama rata terhadap pembangunan teknologi dan modal insan.
Menurut beliau, industri kini memerlukan tenaga kerja yang mampu menggunakan teknologi secara bertanggungjawab selain memahami risiko baharu yang muncul.
Katanya, inisiatif seperti Future Skills Framework (FSF) dan FSF Xcel dibangunkan untuk membantu institusi perbankan mengenal pasti serta membangunkan kemahiran masa hadapan.
Lebih 600 Associate Chartered Banker diraikan
Pada majlis tersebut, AICB menganugerahkan status Fellow Chartered Banker kepada tujuh tokoh industri perbankan.
Selain itu, seramai 114 ahli menerima status Chartered Banker manakala 611 lagi diraikan sebagai Associate Chartered Banker.
Majlis turut menyaksikan pencapaian bersejarah apabila dua ahli AICB menerima pengiktirafan Overall Subject Prize Global Winners oleh Chartered Banker Institute, United Kingdom.
Mereka ialah Vorn Samedy dari Wing Bank (Cambodia) PLC dan Thong Min Fong dari Hong Leong Bank Berhad.
Public Bank dan Maybank turut menerima pengiktirafan
Dalam pada itu, Kumpulan Public Bank dinobatkan sebagai Platinum Winner of the Leading Bank for Professional Development Award bagi tahun 2025.
Sementara itu, Kumpulan Maybank menerima Leading Bank for Chartered Banker Award kerana melahirkan jumlah Chartered Banker tertinggi tahun lalu.
AICB berkata pengiktirafan tersebut mencerminkan komitmen institusi kewangan dalam memperkukuh budaya pembelajaran berterusan dan pembangunan bakat industri.
