Umum

Nak Cari Udang Bertukar Detik Cemas, Warga Emas Diserang Buaya Di Sungai Linggi

Nak Cari Udang Bertukar Detik Cemas, Warga Emas Diserang Buaya Di Sungai Linggi

PORT DICKSON – Seorang warga emas berdepan detik mencemaskan apabila diserang buaya ketika sedang menjala udang di tebing Sungai Linggi, Kampung Tanjung Agas, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Jaafa Hasan, 62, dilaporkan mengalami kecederaan pada kedua-dua kaki dan paha.

Mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan menerima rawatan di Hospital Port Dickson.

Menurut laporan, kejadian berlaku ketika Jaafa sedang menjala udang di kawasan tebing sungai sebelum tiba-tiba diserang reptilia berkenaan.

Penduduk diminta elak aktiviti di tebing sungai

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Tanjung Agas, Hairi Dahlan, berkata pihaknya telah memaklumkan kejadian tersebut kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut.

Menurut beliau, Sungai Linggi sememangnya diketahui mempunyai populasi buaya dan beberapa kejadian serangan pernah dilaporkan sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya, insiden terdahulu tidak melibatkan kehilangan nyawa.

“Saya nasihatkan penduduk supaya tidak menjalankan sebarang aktiviti di tebing sungai buat masa ini bagi mengelakkan kejadian berulang,” katanya.

Kes pertama tahun ini

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Linggi, Mohd Faizal Ramli, memaklumkan keadaan mangsa stabil.

Beliau berkata kejadian itu merupakan serangan buaya pertama dilaporkan di Sungai Linggi bagi tahun ini.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top