“Macam mana budak 11 tahun boleh diculik?” — Pemandu peribadi didakwa culik kanak-kanak di KL
Kes penculikan membabitkan kanak-kanak memang antara berita yang paling meresahkan ibu bapa — dan terbaru, seorang pemandu peribadi didakwa di mahkamah kerana didakwa menculik seorang budak perempuan berusia 11 tahun di Kuala Lumpur minggu lalu.
Lelaki berusia 23 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini.
Menurut pertuduhan, dia didakwa menculik kanak-kanak perempuan tersebut daripada bapanya sendiri di Jalan Ilmu berhampiran sebuah kolej sebelum dibawa ke sebuah stesen minyak di Bukit Damansara.
Kejadian didakwa berlaku antara jam 2.30 petang hingga 4.49 petang pada 19 Mei lalu.
Didakwa bawah Seksyen 363
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurbatrisyia Mohd Razib, manakala tertuduh diwakili peguam P Suthes.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah kenakan syarat tambahan
Selain jaminan, mahkamah turut mengenakan beberapa syarat tambahan terhadap tertuduh.
Antaranya, dia perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan dan tidak dibenarkan mengganggu atau mendekati mangsa serta keluarganya sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 20 Julai depan untuk sebutan semula kes.
Kes ini sekali lagi membuka perbincangan tentang soal keselamatan kanak-kanak, terutama apabila melibatkan individu yang mempunyai akses atau kepercayaan daripada keluarga.
