Umum

Vaksin: Doktor minta bantuan sukarelawan daftarkan warga emas

Bantuan sukarelawan diperlukan untuk mendaftarkan permohonan  mendapatkan vaksin kepada lebih 5,000 warga emas yang tidak mahir menggunakan teknologi.

Pakar kesihatan, Dr Helmi Zakariah berkata, ini susulan permohonan untuk mendapatkan suntikan vaksin Astrazeneca fasa kedua akan dibuka pada 23 hingga 26 Mei ini.

Helmi, yang merupakan anggota Pasukan Petugas Khas Selangor untuk Covid-19 (STFC), berkata, dia mempunyai senarai lebih 5,000 warga emas yang memerlukan bantuan untuk membuat janji temu.

Katanya ketika pendaftaran sebelum ini dia hanya berjaya mendaftarkan 10 orang daripada senarai tersebut.

Sementara itu, doktor berkenaan yang juga pencipta aplikasi Selangkah di Selangor – meminta Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) membantu mendaftarkan mereka yang tersenarai.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan pemberian vaksin AstraZeneca dibuat secara sukarela berikutan kebimbangan masyarakat mengenai kesan sampingan terhadap vaksin berkenaan, yang jarang-jarang berlaku.

Fasa pertama program vaksin berkenaan melibatkan 268,600 dos vaksin AstraZeneca dan hanya terbuka untuk penduduk Selangor dan Kuala Lumpur.

Sebanyak 1.1 juta dos vaksin akan diberikan mulai Ahad (23 Mei) dan hanya terbuka untuk mereka yang berumur 60 tahun ke atas selama tiga hari sehingga 26 Mei.

Ia juga akan diperluas di luar Lembah Klang iaitu ke Johor, Sarawak dan Pulau Pinang.

Sementara itu, Helmi berkata, Pasukan Respons dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (Imaret) juga memerlukan bantuan sukarelawan.

Dia berkata mereka diperlukan untuk membantu di kaunter pendaftaran pusat vaksinasi bagi pengesanan kontak dan kemasukan data, serta memeriksa individu yang menjalani kuarantin di rumah.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top