Umum

WHO sangsi vaksin mampu tamatkan pandemik COVID-19

COPENHAGEN: Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Eropah, Hans Kluge, hari ini pesimis terhadap kemampuan vaksin untuk menamatkan pandemik COVID-19.

Ia berikutan kemunculan varian baharu yang melenyapkan harapan bagi mencapai imuniti kelompok kerana memiliki ciri-ciri yang boleh mengatasi keberkesanan vaksin.

“Mengambil kira kemungkinan coronavirus akan terus berada di sekeliling kita selama beberapa tahun lagi.

“Pihak berkuasa kesihatan kini perlu memikirkan bagaimana untuk menyesuaikan strategi vaksinasi secara berperingkat khususnya berhubung keperluan dos tambahan,” katanya kepada wartawan.

Pada Mei lalu, WHO berkata pandemik itu akan berakhir apabila sekurang-kurangnya 70 peratus penduduk dunia sudah divaksinasi.

Ketika ditanya AFP jika angka itu masih menjadi sasaran atau memerlukan lebih ramai penduduk divaksinasi, Kluge mengakui keadaan kini berubah disebabkan kemunculan varian baharu yang lebih mudah tersebar seperti Delta.

“Saya fikir ini membawa kita kepada tujuan vaksinasi iaitu yang pertama dan paling utama untuk mencegah penyakit lebih serius serta risiko kematian.

“Jika kita sedar COVID-19 akan terus bermutasi dan berada bersama kita sebagaimana influenza, maka kita perlu menjangkakan bagaimana menyesuaikan strategi vaksinasi secara berperingkat ke arah endemik.

“Kita perlu mengumpulkan pengetahuan penting berhubung kesan suntikan penggalak,” katanya.

Pakar epidemiologi kini berpandangan, tidak realistik imuniti kelompok dapat dicapai melalui penggunaan vaksin walaupun ia tetap penting bagi mengekang pandemik.

Kluge berkata, kadar vaksinasi yang tinggi turut penting bagi mengurangkan tekanan terhadap sistem kesihatan yang masih perlu merawat penyakit selain COVID-19.

Varian Delta lebih mudah tersebar iaitu 60 peratus berbanding varian dominan sebelumnya seperti Alpha dan dua kali lebih mudah menular berbanding virus asalnya. – AFP

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top