TONGGAK Manchester United, Cristiano Ronaldo memberi amaran kepada rakan sepasukan The Red Devils betapa perlu dalam kalangan mereka menyesuaikan diri dan menambah baik mutu permainan segera, selepas pemain Portugal itu sekali lagi muncul wira menyelamatkan maruah kelab gergasi Inggeris ketika bertandang menentang Atalanta Bergamasca Calcio, dalam saingan Liga Juara-Juara di Bergamo.
Menurut bekas pemain Sporting Lisbon, Real Madrid dan Juventus itu, pemain-pemain The Red Devils mesti lebih baik untuk bersaing merebut kejuaraan berprestij kelab bola sepak benua Eropah tersebut.
“Sejujurnya ia adalah perlawanan yang sukar. Saya tahu bahawa apabila kami menentang Atalanta Bergamasca Calcio ia sukar dan kami percaya sehingga ke minit akhir, saya akan membantu pasukan mendapatkan tiga mata dan saya sangat gembira. Kami tidak pernah berputus asa dan percaya sehingga ke penghujungnya. Saya percaya ia keputusan yang baik untuk kami.
“Permulaan adalah sukar, Atalanta Bergamasca Calcio mempunyai jurulatih yang hebat dan mereka tahu apa yang perlu dilakukan apabila berdepan lawan seperti Manchester United. Malah saya tahu semasa bermain di Juventus. Kami melakukan tugas dengan baik. Kami bernasib baik kerana saya menjaringkan gol tetapi itulah bola sepak.
“Kami masih perlu meningkat. Kami mempunyai pemain-pemain yang berbeza dan sistem yang berbeza. Kami perlu menyesuaikan diri tetapi ia akan mengambil masa. Kami mempunyai masa untuk memperbaiki,” ujar Ronaldo.
Pada perlawanan berintensiti tinggi peringkat kumpulan D di Atleti Azzurri d’Italia itu Atalanta Bergamasca Calcio dan Manchester United yang telah mempamerkan kekuatan masing-masing sepanjang 90 minit lebih akhirnya terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 2-2.
Atalanta Bergamasca Calcio kendalian Gian Piero Gasperini terlebih dulu di depan hasil jaringan Josip Iličić minit ke-12 selepas menyudahkan hantaran daripada Duván Zapata.
Bagaimanapun Ronaldo menyamakan kedudukan 1-1 di masa kecederaan pada minit ke-46 babak pertama setelah menyempurnakan hantaran Mason Greenwood.
Bersambung babak kedua, The Nerazzurri, sekali lagi di depan Zapata pada minit ke-56 setelah menyempurnakan hantaran cantik José Luis Palomino.
Atalanta Bergamasca Calcio yang selesa dengan kedudukan itu mengurangkan tekanan permainan sehinggalah Ronaldo sekali lagi mempamerkan kematangan apabila meledak jaringan pada minit ke-91, untuk mengikat perlawanan 2-2.
Keputusan seri di Bergamo menyaksikan anak buah Ole Gunnar Solskjaer masih mengekal kedudukan pendahulu dengan tujuh mata diikuti Villarreal kedua (tujuh mata, Atalanta Bergamasca Calcio ketiga (lima mata) dan Young Boys (tiga mata) selepas masing-masing mengharungi empat perlawanan.
Artikel asal di Sinar Harian