Buletin

Doktor Kontrak: Senada dengan Anwar, KJ komited selesaikan ‘masalah legasi’

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin komited untuk memastikan isu melibatkan lantikan pegawai perubatan kontrak ke perjawatan tetap diselesaikan segera.

Ujarnya, beliau senada dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) yang mahukan lebih 10,500 pegawai perubatan kontrak dilantik secara tetap.

“Daripada 10,583 pegawai yang telah tamat tempoh khidmat wajib, 4,186 pegawai telah dinilai boleh diperakukan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk lantikan tetap.

“Jumlah yang diperlukan untuk tahun depan (2022), permohonan 4,186 perjawatan pelantikan tetap yang meliputi 3,586 pegawai perubatan, 300 pegawai pergigian, 300 pegawai farmasi adalah RM377,485,089.00

“Pendirian saya dengan Ketua Pembangkang tidak jauh berbeza. Sekarang ini, kita lihat daripada 10,000 orang, berapa ramai yang diperlukan dari segi unjuran keperluan KKM.

“Saya rasa, pendirian saya juga menghampiri Ketua Pembangkang. Apa yg diperlukan adalah mereka perlu dilantik secara tetap,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Anwar yang ingin tahu implikasi kewangan kepada kerajaan serta jaminan berkenaan pelantikan pegawai perubatan lepasan siswazah secara tetap.

Mengulas lanjut, Khairy menegaskan beliau tidak dapat memberi jaminan untuk melantik semua yang berkhidmat secara kontrak dilantik sebagai perjawatan tetap.

“JPA meminta unjuran daripada KKM berkenaan berapa ramai doktor yang diperlukan untuk tahun-tahun mendatang dan sbb itu kita dalam proses menyediakan unjuran, supaya kita dapat kemukakan kepada JPA dan Kementerian Kewangan (MOF) berkenaan keperluan berdasarkan unjuran dan keperluan untuk doktor ini dilantik secara tetap.

“Sejak akhir 2016, setiap pegawai perubatan latihan siswazah dilantik secara kontrak, iaitu lebih 24,000 orang, yang ditawarkan secara tetap hanya 1,000 sahaja.

“Ia adalah masalah legasi lama yang perlu kita atasi segera. Saya tak pasti sama ada kita dapat serap semua yang ada di bawah kontrak.

“Namun, kita mula dengan unjuran keperluan dahulu dan saya pasti unjuran keperluan itu kita akan usahakan supaya jumlah itu dapat kita serapkan untuk dimasukkan dalam perkhidmatan tetap,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Azizah Mohd Dun (PN-Beaufort).

Menerusi pembentangan Bajet 2022, kerajaan bersetuju menyambung pelantikan secara kontrak kepada 10,583 orang pegawai perubatan, pergigian dan farmasi dengan peruntukan sebanyak RM336.35 juta.

Selain itu, kerajaan juga akan menyediakan RM100 juta bagi dimanfaatkan 3,000 pegawai kontrak perubatan dan pergigian bagi penajaan program kepakaran.

Menurut Khairy, jawatankuasa khas bagi mendapatkan penyelesaian jangka masa panjang terhadap isu lantikan kontrak itu sedang meneliti keperluan meminda beberapa akta berkaitan termasuk Akta Perubatan 1971 dan Akta Pergigian 1971.

Selain itu, KKM bersama JPA masih meneruskan perbincangan bagi membuat pindaan kepada Akta Pencen 1980 bagi melihat kesesuaian penawaran lantikan secara tetap dengan lebih lestari kepada pegawai perubatan, pergigian dan farmasi menerusi skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top