Entertainment

Shuib akui sukar lalui kehidupan selepas pemergian Siti Sarah

SELEBRITI Shuib Sepahtu akui sukar lalui kehidupan selepas pemergian Allahyarham Sarah, sememangnya kehilangan insan yang tersayang cukup memeritkan, bagaikan hilang separuh nyawa apabila berdepan dengan satu kehilangan yang abadi.

Bagaimana ujian itu hanya Allah yang lebih mengetahuinya. Begitu juga mengenai kehilangan insan tersayang yang selalu di sisi, di hati dan menemani jiwa setiap hari.

Namun apabila sampai masanya, Allah ambil semula siapa kita nak melawan takdirNya.

Namun kenangan dengan mereka itulah kekuatan. Ingatan itu mampu buat kita berdoa untuk dia, sebab dia ada dalam jalur masa hidup kita sebelum ini.

Begitu juga dengan keadaan yang dilalui pelawak, pelakon dan usahawan berjaya Shuib yang telah kehilangan isteri kesayangan Siti Sarah Raissuddin lebih dua bulan lalu.

Akuinya kehilangan itu memberi impak besar malah menerusi petikan Kosmo Online, Shuib menyatakan dirinya masih susah untuk melalui kehidupan sehariannya apatah lagi dengan statusnya sebagai bapa tunggal.

Shuib juga terpaksa bertemu dengan pakar psikiatri hampir setiap minggu untuk mendapatkan rawatan berkaitan kesihatan mental.

“Sehingga kini, saya tak akan bercerita dengan orang lain sekiranya ada masalah walaupun dengan mak atau mentua. Saya hanya boleh pergi ke pusara isteri dan berkongsi dengannya.

“Disebabkan hal itu juga, setiap minggu saya akan berjumpa doktor peribadi yang pernah menjaga Siti Sarah untuk memeriksa kesihatan tahap saya. Lebih kurang pakar psikiatri lah.

“Perjumpaan tersebut juga bagi memastikan kesihatan mental saya dalam keadaan baik sebab berkait rapat juga dengan emosi dan badan kita,” ungkapnya yang turut menziarahi kubur Allahyarham Sarah setiap Isnin dan Jumaat untuk berkongsi perasaannya.

Aktiviti mengaji dan solat berjemaah bantu kesihatan mental. Walaupun sukar harungi kehidupan, namun Shuib bersyukur kerana dikelilingi keluarga yang sangat baik.

Dek kerana aktiviti yang dilakukan seperti mengaji dan solat berjemaah membantu mengawal emosinya.

“Syukur saya ada keluarga yang sangat baik untuk bantu menjaga keluarga kecil saya.

“Alhamdulillah sekarang ini kami sering buat aktiviti yang tidak pernah dilakukan sebelum ini seperti mengaji setiap malam dan solat berjemaah. Jadi perkara seperti ini sangat membantu kesihatan mental saya,” sambung Shuib.

“Dia tak ada, tak tahu nak rujuk siapa”

Bagai hilang separuh nyawa apabila kehilangan isteri yang juga sumber kekuatan dirinya.

Namun Shuib akui selepas pemergian Allahyarham Sarah, bukan separuh namun dirinya berasakan hampir semuanya hilang.

“Bila dia tiada, saya tak rasa hilang separuh, sebaliknya hilang hampir semua.

“Kalau ada masalah dalam bisnes atau peribadi, saya rujuk pada dia. Jadi bila dia tiada, saya tak tahu nak rujuk pada siapa,” luah bapa kepada Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan yang kini berusia tiga bulan.

* Artikel asal disiarkan di Mingguan Wanita.

PALING POPULAR

To Top