Tan Sri Muhyiddin Yassin selalu Pengerusi Perikatan Nasional (PN) telah mengumumkan Ahli Parlimen Masjid Tanah yang bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon Ketua Menteri Melaka.
Muhyiddin berkata, pemilihan Mas Ermieyati itu diputuskan sebulat suara pada mesyuarat Pimpinan Tertinggi PN.
“Ini adalah kali pertama dalam sejarah negara, seorang wanita yang berkelayakan tinggi dalam kalangan professional muda mempunyai banyak pengalaman ditawarkan sebagai calon Ketua Menteri.
“Saya rasa belum pernah ada di negara kita (pencalonan wanita sebagai Ketua Menteri) tapi terbukti bahawa PN sentiasa memberikan peluang kepada sesiapa saja, tidak kira jantina untuk memegang jawatan penting seperti ini,” katanya dalam sidang media yang turut dihadiri Mas Ermieyati.
Mas Ermieyati, kini adalah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang). Beliau juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU dan Naib Ketua Srikandi BERSATU.
Muhyiddin berkata, pemilihan Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah dan calon bagi kerusi DUN Tanjung Bidara dilihat sebagai pemimpin yang disenangi rakyat Melaka serta bebas daripada isu.
Bila ditanya sama ada pengundi dapat menerima pencalonan Mas Ermieyati itu, Muhyiddin berkata: “Ya kita harap (calon kita) diterima kerana saya pun dah lama turun ke gelangang di bawah dan saya dapati pengundi Melaka cukup luas pengetahuan politik”.
“Saya dapati pengundi Melaka cukup luas pengetahuan politik mahukan seorang pemimpin yang berwibawa, walaupun mereka tak sebut lelaki atau perempuan, tapi yang bersih dan ada pengalaman, kelayakan dan boleh buat kerja, good track record yang mana semua ini ada pada Mas Ermieyati.
PN bertanding di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Melaka, 20 November ini dengan parti komponennya BERSATU bertanding di 15 kerusi manakala PAS, lapan dan Gerakan, lima.