Ahli perniagaan berstatus ‘Datuk’ dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas pertuduhan bersubahat membunuh juruteknik di Bandar Springhill, Lukut, bulan lalu.
Tertuduh, R Ravi, 53, hanya mengangguk faham dan tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret V Vanita.
Mengikut pertuduhan, dia didapati bersubahat dengan empat yang sudah dituduh di mahkamah sebelum ini dan seorang lagi masih bebas untuk membunuh A Vasudevan, 39.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Bandar Springhill antara jam 5.40 pagi hingga 9.45 pagi, pada 13 November lalu.
Berikutan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 109 kanun yang sama.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Nur Athirah Zainudin dan tertuduh diwakili peguam Datuk Geethan Ram Vincent dan Revin Kumar.
Mahkamah menetapkan 15 Februari tahun depan sebutan semula kes.
Pada 17 Disember lalu, dua lagi lelaki iaitu A Devadas, 41, dan P Xavier, 43, dihadapkan ke mahkamah sama atas menculik dan membunuh Vasudevan serta menyamar sebagai anggota polis di Bandar Springhill.
Sebelum itu, pada 23 November lalu, M Murugan, 44, dan Wong Yon Kuan, 43, didakwa di mahkamah atas pertuduhan sama.