Umum

Bekalan air di 28 kawasan Hulu Langat pulih

Status pemulihan bekalan air di 21 daripada 28 kawasan di Wilayah Hulu Langat pulih sepenuhnya pada jam 6 pagi hari ini, berikutan Loji Rawatan Air (LRA) di Batu 11 Cheras sudah mula beroperasi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya kini sedang berusaha sebaik mungkin untuk memastikan loji dapat beroperasi pada kapasiti optimum.

“Bekalan air bersih dapat dibekalkan semula kepada pengguna di kawasan yang terjejas secara berperingkat sehingga pemulihan penuh dicapai.

“Antara kawasan yang belum pulih adalah Taman Bukit Sungai Long, Taman Bukit Suria, Taman Sejati, Taman Sinar Harapan Cheras, Taman Taming Indah, Taman Tropicana Cheras dan Taman Wira Heights,” katanya.

Dalam pada itu, Air Selangor memaklumkan bantuan alternatif melalui lori tangki masih lagi digerakkan ke kawasan terjejas dengan memberi keutamaan kepada premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual.

Sebelum ini, beberapa LRA terpaksa dihenti tugas kerana paras air yang meningkat dan penutupan kecemasan bekalan elektrik Ahad lalu.

Pengguna boleh merujuk kepada saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi dan media sosial Air Selangor atau menghubungi Pusat Perhubungan Pelanggan Air Selangor di 15300 sementara pertanyaan dan aduan boleh dikemukakan di Pusat Bantuan Pelanggan melalui laman sesawang www.airselangor.com.

PALING POPULAR

To Top